Selepas Pakatan Harapan (PH) telah diberi mandat oleh rakyat sebagai kerajaan Perseketuan, proses pembentukan kerajaan dan jemaah menteri perlu disegerakan.

Menurut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin, proses itu adalah penting kerana harapan dan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan baharu adalah tinggi.

“Harapan rakyat terhadap kita adalah tinggi. Kita telah terima mandat yang besar.

“Rakyat akan menilai kita sama ada kita menjalankan tugas atau sebaliknya,” kata beliau ketika ditemui Astro AWANI di ibu negara, hari ini.


Beliau turut mengesahkan telah menyenaraikan 13 Ahli Parlimen PPBM bagi dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri dalam kementerian-kementerian kerajaan.

Jelas beliau, keputusan perlantikan itu adalah bergantung kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tambahnya, parti-parti komponen di bawah Pakatan Harapan (PH) juga telah menyerahkan nama kepada Dr Mahathir.

Sementara itu, Muhyiddin mengesahkan bahawa Perdana Menteri sendiri akan mengumumkan senarai menteri-menteri kabinet tersebut.

Bagaimanapun, waktu pengumuman itu masih belum ditetapkan lagi.