Kepimpinan dan jentera Barisan Nasional (BN) Kedah tidak gusar sama sekali untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekiranya Parlimen dibubarkan pada bila-bila masa dalam tempoh terdekat ini.

Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, ini kerana jentera BN negeri sudah bersedia sepenuhnya untuk mempertahankan pentadbiran kerajaan BN di negeri itu.

"Kita tunggu saja Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) bubar Parlimen dan jentera kita akan terus digerakkan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan wang ihsan bagi daerah Kulim, di sini, Ahad.

Dalam masa yang sama, Ahmad Bashah, yang juga Menteri Besar, berkata senarai calon BN negeri diserahkan kepada Najib, selaku Pengerusi BN, untuk diputuskan.

"Saya sendiri belum jumpa dengan perdana menteri namun apa pun, kita serah kepada beliau untuk buat keputusan muktamad," katanya.

-- BERNAMA