PRU14: BN, Pas, PH 'gocoh' di Kelantan

PRU14: BN, Pas, PH 'gocoh' di Kelantan
Seperti dijangka, kehadiran Pakatan Harapan di semua 14 kerusi Parlimen dan 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kacau daun dalam usaha Pas mempertahankan negeri Cik Siti Wan Kembang itu. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Pertempuran pilihan raya klasik 'Malay Battle' di Kelantan kini tidak lagi sekadar menyaksikan pertembungan antara Pas dengan Barisan Nasional (BN).

Seperti dijangka, kehadiran Pakatan Harapan (PH) di semua 14 kerusi Parlimen dan 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kacau daun dalam usaha Pas mempertahankan negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

'Pergocohan' tiga penjuru sudah pasti, dengan beberapa kerusi dijangka empat penjuru, sebagai contoh di Parlimen Pasir Mas, dengan kehadiran calon Bebas, Datuk Ibrahim Ali.

Dalam pertandingan di negeri dengan majoriti pengundi Melayu ini, BN pula akan mengekalkan calon 'heavy weight' di beberapa kerusi Parlimen yang disandangnya.

Ini termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed di Parlimen Jeli, Tan Sri Annuar Musa bagi Parlimen Ketereh dan Tengku Razaleigh Hamzah di Parlimen Gua Musang.

Manakala bagi Pas, calon 'heavy weight' mereka adalah Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di Parlimen Kubang Kerian, Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan di Kota Bharu, Ketua Pemuda Muslimat Pas Kelantan, Siti Zailah Mohd Yusoff di Rantau Panjang serta Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari di Pasir Mas.
Calon 'heavy weight' Pakatan Harapan Kelantan terdiri daripada Pengerusinya, Husam Musa yang bertanding di Kota Bharu, serta bekas Ketua Umno Pasir Puteh, Datuk Kamarudin Md Noor yang akan bertanding di Pasir Puteh.

Untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 'kerusi panas' di negeri ini merujuk kepada kerusi yang meletakkan pemimpin utama parti di peringkat negeri, selain kawasan yang jadi rebutan tradisi.

Bagi kerusi Parlimen Machang, Datuk Jazlan Yaakob akan menentang bekas Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Sazmi Miah yang keluar UMNO untuk menyertai PKR.

Calon Parlimen Machang



Di kerusi Parlimen Kota Bharu, Fikhran Hamshi mewarisi kerusi yang gagal ditawan bapanya Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh sebelum ini, bertemu penyandang Takiyuddin serta orang kuat Pakatan Harapan Kelantan, Husam.

Grafik Astro AWANI


Kedudukan kerusi Jeli, deposit tetap BN di Kelantan, yang disandang Mustapa akan dicabar oleh bekas orang kuatnya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azran Deraman serta calon Pas.

Calon Parlimen Jeli


Dua doktor masing-masing calon muka baru BN Kelantan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Dr Nik Muhd Zawawi Salleh akan mencabar bekas orang lama UMNO, di Parlimen Pasir Puteh, Datuk Kamarudin Md Nor, yang bertanding atas tiket PKR.

Calon Parlimen Pasir Puteh


Anak bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Mohamad Abduh, yang didakwa tidak dapat sokongan penduduk Parlimen Pasir Mas, dipindah ke Parlimen Bachok, bertemu calon muka lama UMNO Datuk Dr Awang Adek Hussin dan calon PKR Mohd Zulkifli Zakaria.

Calon Parlimen Bachok