Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Abd Razak Tun Sakaran menerima impak positif pada hari terakhir kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas seorang calon bebas yang bertanding di DUN N.54 Bugaya menarik diri untuk menyokong beliau.

Calon Bebas berkenaan, Abdul Muksin Mohd Hassan, mengumumkan perkara tersebut di hadapan Abd Razak dan rombongannya di Program Santai BN Bersama Rakyat Kampung Indani, Bugaya, hari ini.

Abdul Muksin berkata, sebab utama penarikan itu tidak ada kena-mengena dengan agenda peribadi, memandangkan baginya hanya BN sahaja mampu membela nasib rakyat Semporna dan Bugaya.

"Yang boleh memerintah di Sabah adalah Barisan Nasional sahaja, sebab saya pun sudah fikir panjang, tiada lawannya Barisan Nasional di Sabah ini.

"Saya sudah terfikir dengan kawan-kawan dan ahli-ahli saya dengan kata putus mereka memang setuju dengan pemerintahan BN," katanya ketika ditemui.

Sebelum ini, Abdul Muksin, 52 tahun, yang juga seorang ahli perniagaan, memohon untuk bertanding sebagai calon Bebas dan memilih logo Jentolak dalam pertandingan enam penjuru di kerusi DUN Bugaya pada PRU14.


Penarikan beliau kini memberi saingan lima penjuru di DUN Bugaya. Mereka yang masih bertanding di kawasan tersebut ialah Manis Muka Mohd Dara (Parti Warisan Sabah), Mahamod Sarahil (PAS), Kuli Maralang (Parti Kebangsaan Sabah) dan Mohd Said Tiblan (Parti Perpaduan Rakyat Sabah).

Sementara itu, Abd Razak berkata pengumuman Abdul Muksin meningkatkan lagi momentum pihaknya untuk menawan kerusi berkenaan.

"Beliau juga mempunyai pengikut dan saudara yang ramai di Indani. Saya yakin Barisan Nasional telah diyakini oleh para pengundi, oleh rakyat bukan sahaja di Semporna tetapi seluruh negara," katanya.