Hanya Pas akan bertanding di Wilayah Persekutuan manakala Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) tidak tersenarai.

Menurut Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan Mohamad Noor Mohamad, dua parti komponen Gagasan Sejahtera itu akan bertanding di negeri-negeri lain.

"Di Wilayah Persekutuan hanya Pas bertanding, Ikatan dan Berjasa akan bertanding di negeri-negeri lain," katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman calon di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Gombak, malam tadi.

Mohamad Noor berkata, kombinasi calon ditampilkan Pas di Wilayah Persekutuan itu menggabungkan golongan profesional, ahli pendidikan dan agamawan.

Selain itu, beliau berkata Pas hanya meletakkan calon di tujuh kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan dan tidak bertanding di kerusi parlimen Kepong, Seputeh, Bukit Bintang dan Cheras.

Antara yang dicalonkan oleh Pas ialah Mohamad Noor yang akan bertanding untuk kerusi Parlimen Titiwangsa.

Selain Mohamad Noor, Pas turut mempetaruhkan enam calon lain, Ubaid Abd Akla (Parlimen Setiawangsa); Ahmad Junid @Junit Mohd Aling @Aling (Parlimen Labuan); Azhar Yahya (Parlimen Batu); Razali Tumiran (Parlimen Wangsa Maju); Dr Rosni Adam (Parlimen Bandar Tun Razak); Fauzi Abu Bakar (Parlimen Lembah Pantai), Zainal Kidam (Parlimen Putrajaya) dan Mohd Solleh Abd Razak di Parlimen Segambut.

Zainal Kidam merupakan bekas Timbalan Naib Canselor UNISEL manakala Fauzi Abu Bakar merupakan seorang arkitek bertauliah.