Hasil saringan calon untuk pilihan raya hanya akan dikongsi dengan parti yang menghantar senarai tersebut.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata ini bagi menjaga kerahsiaan antara kedua-dua pihak.

"Setakat ini, hanya Barisan Nasional yang sudah menghantar senarai nama calon secara berperingkat.

"Namun, kami terbuka untuk menerima senarai daripada mana-mana parti," katanya ketika sidang media bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Dzulkifli turut mengumumkan penubuhan Bilik Gerakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan beroperasi selama 24 jam sepanjang tempoh PRU.







"Ia akan dibuka bukan sahaja disini tetapi juga di peringkat negeri," katanya.

Bilik Gerakan itu berfungsi untuk memantau tiada salah laku berhubung rasuah dan proses mengundi dijalankan secara telus dan bersih.

Tambahnya, emel khas "[email protected]" turut diwujudkan bagi tujuan orang ramai menyampaikan maklumat berkaitan salah laku rasuah jika berlaku sepanjang tempoh PRU.

"Ini merupakan kerjasama erat antara SPRM dan SPR bagi memastikan PRU14 bebas rasuah," katanya.