Ibrahim Mat Zin atau dikenali dengan panggilan 'Raja Bomoh', yang pernah mencetuskan fenomena menerusi 'buah kelapa dan teropong ajaibnya' beberapa tahun lalu, mengumumkan hasrat untuk bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Bagan Datuk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau selaku Presiden Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia (PSSGGM) turut menimbang meletakkan calon di Pekan, Pahang selain berjanji untuk memberikan semua wang gajinya sebagai ahli Parlimen kepada rakyat memerlukan di Bagan Datuk jika memenangi PRU14.

“Parti Barisan, Keadilan, Pas, DAP baik tetapi bila mereka menjadi wakil rakyat mereka lupa rakyat, saya ini wakil rakyat, jiwa rakyat. Bila kita dilantik sebagai wakil rakyat, kita sebagai budak suruhan menjadikan kita sebagai budak suruhan... jangan derhaka dengan bos (rakyat).

“Saya lawan bukan kerana wang. Saya ada nama. Orang jual kelapa berlori-lori, saya dua biji saja (kelapa) tapi orang kenal. Dalam surat khabar siapa tak kenal Ibrahim Mat Zin, kalau menang saya akan serahkan wang gaji kepada Tabung Anak-Anak Bagan Datuk dan bantu anak-anak miskin serta ibu tunggal.

"Saya berjanji kalau saya menang, saya tidak mahu elaun saya di Parlimen. (Akan) disedekah pada rakyat iaitu orang Melayu, Cina, India, Benggali dan sebagainya... Lima tahun saya tak mahu gaji (elaun),” kata Ibrahim.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas di sebuah hotel di sini, pada Selasa. Hadir sama, Timbalan Presiden PSSGGM, Leman Kana Ullah yang akan bertanding selaku calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor.

Dalam pada itu menurut Leman, beliau yakin dengan sokongan yang diberikan oleh penyokongnya di Pangkor dan akan melaksanakan tanggungjawab sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

“Saya dibesarkan di sana dan tahu keluhan rakyat. Jadi (saya) jadi calon bebas untuk membantu rakyat dan kawasan di sana mengikut apa yang saya mampu,” katanya.

Sementara itu jelasnya, beliau tidak menolak kemungkinan untuk meletakkan calon di Pekan, Pahang.

“InsyaAllah, saya pun baru balik Pekan, Pahang pun banyak minta,” katanya.

Ujarnya, ahli PSSGGM sehingga kini mencecah lebih 5 juta orang yang telah dikenal pasti.

Antara janji yang diutarakan oleh Ibrahim seperti menubuhkan lebih banyak pusat tahfiz dan sekolah pondok tradisional di Bagan Datuk supaya daerah itu menjadi pusat ilmu agama.

Tambahnya, jika menang, beliau akan membina bangunan di Kuala Lumpur khas untuk para pemberita dan artis.

“Pihak akhbar yang datang semua, saya bukan berjanji tapi tinggal janji... saya akan tolong akhbar-akhbar ini yang datang, saya buatkan satu bangunan di Kuala Lumpur untuk para pemberita ada bangunan sendiri, (termasuk) artis dan pelakon.

“Kita bagilah popular, saya makan daging, kamu makan kulit daging tak boleh... kita bagi naik semua,” katanya.