Lebih 30 peratus calon muka baru yang disenaraikan MCA untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 terdiri daripada generasi muda, kata Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Tanpa menyatakan jumlah calon muka baharu pada PRU-14 nanti, beliau berkata MCA hanya menyenaraikan calon yang berkelayakan dan berpotensi terutamanya generasi muda untuk menarik kembali sokongan pengundi Cina kepada parti itu.

Beliau turut memberi amaran kepada semua calon MCA agar bergerak cergas bersama rakyat bagi mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada rakyat.

"Walaupun telah termasuk dalam senarai pendek, kita tidak teragak-agak untuk menyingkirkan calon yang gagal memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Kita harap sokongan pengundi akan meningkat kerana MCA bergantung kepada mereka," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Liow berkata demikian ketika menghadiri majlis jamuan sempena sambutan Tahun Baru Cina MCA Melaka di Ayer Keroh di sini.

Beliau turut meminta agar calon mengguna sebaik mungkin sambutan Tahun Baru Cina sebagai peluang terbaik kepada mereka untuk berinteraksi dan mendekati rakyat.

"Kita tidak ingin jadi seperti parti pembangkang yang mengunakan sambutan perayaan Tahun Baru Cina untuk memecah belahkan perpaduan rakyat.

"Sambutan Tahun Baru Cina adalah perayaan penting bagi masyarakat Cina dan ianya tidak sepatutnya digunakan untuk bercakap benda yang buruk seperti yang dilakukan oleh parti pembangkang," katanya -- Bernama