Parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA dan Gerakan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama yang dilakukan sebelum ini selain bertekad meraih keputusan terbaik pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau sangat positif kedua-dua parti itu akan meraih undi pada PRU14, berdasarkan komitmen padu mereka untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Kami telah belajar daripada kesilapan kami pada masa yang lalu, ia adalah kesilapan besar dan kami tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama (pada PRU14)," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan MCA-Gerakan bertajuk 'Teguh Bersama' di Wisma MCA, di sini pada Sabtu.

Berhubung perhimpunan itu, Liow berkata tidak pernah dalam sejarah MCA dan Gerakan bahawa kedua-dua parti begitu bersemangat tinggi seperti hari ini.

"Kami memberi banyak wajaran kepada rakyat serta kami berharap rakyat akan melihat MCA dan Gerakan adalah serius mengenai masa depan negara kita," katanya.

Tiong Lai berkata kedua-dua parti akan melancarkan jerayawara Visi Nasional di seluruh negara, untuk menyebarkan maklumat kepada akar umbi menjelang PRU14.

"Jerayawara ini penting untuk rakyat Malaysia kerana kita hendak tonjolkan wawasan dan visi negara kita.

"Kita mahu rakyat faham apa yang kita telah jelmakan..Saya rasa ramai yang tidak faham dan tidak tahu negara mempunyai visi yang cukup baik untuk rakyat," katanya.

Sementara itu, Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong menyatakan kepimpinan kedua-dua parti itu mengadakan mesyuarat lebih lima kali sepanjang dua bulan lepas, untuk membincangkan pelbagai isu dan akan membentangkan hasil mesyuarat itu kepada kerajaan.

"Isu-isu ini adalah perkara yang dekat dengan kami dan kami mengambil langkah yang betul," katanya.

Siew Keong juga menegaskan bahawa perhimpunan itu melakar sejarah dan adalah permulaan baharu bagi kedua-dua parti, Gerakan dan MCA.

"Kita juga telah menyatakan komitmen untuk menolong satu sama lain di semua kawasan pada PRU14," katanya.

Pada PRU13, MCA hanya memenangi tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN yang dimenanginya pada PRU 2008. Pada PRU13, MCA bertanding di 37 kerusi parlimen dan 90 kerusi negeri.

Gerakan pula hanya mampu memenangi satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN sebelum menambah satu lagi kerusi Parlimen di Teluk Intan melalui pilihan raya kecil pada 2014.

-- BERNAMA