MIC akan memantau calon yang sudah disenarai pendek oleh parti tersebut bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata presidennya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata, pemantauan itu membabitkan penilaian prestasi calon selain melihat sama ada calon berkenaan boleh diterima oleh penduduk di kawasan yang dipertandingkan.

"Walaupun kita sudah kenal pasti calon, namun ini bukanlah satu jaminan kepada mereka (calon) kerana kita tidak akan teragak-agak untuk menukar calon yang sudah disenaraikan jika mereka gagal menunjukkan prestasi terbaik," menurut beliau.

"Jika mereka berjaya memenangi hati rakyat, ia adalah petanda positif yang MIC akan mampu meraih sekurang-kurangnya enam kerusi di Parlimen nanti," ujar beliau lagi.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Bersama Rakyat anjuran MIC Kulim Bandar Baharu di sini malam tadi yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Dr Subramaniam yang juga merupakan Menteri Kesihatan turut mengulangi kenyataan beliau bahawa parti komponen Barisan Nasional (BN) itu akan mampu memenangi 6 kerusi Parlimen dan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi pada PRU14 nanti.

Beliau berkata keyakinan itu bersandarkan kepada gerak kerja teratur yang dilaksanakan jentera MIC misalnya melalui aktiviti mendaftar pemilih baharu dan program turun padang bersama badan bukan kerajaan (NGO).

Pada PRU13, MIC telah memenangi 4 daripada 9 kerusi Parlimen dan 5 daripada 18 kerusi DUN yang ditandingi oleh parti bangsa India itu.

-- BERNAMA