PAS mengesahkan akan bertanding di 21 daripada 24 kerusi Parlimen yang ada di negeri Perak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini, kecuali di Ipoh Timur, Ipoh Barat dan Batu Gajah.

Parti itu turut akan bertanding di 58 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kecuali DUN Jalong, menurut Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria.

Mengulas mengenai senarai calon, Razman berkata, pemilihan calon PRU14 ini melibatkan banyak muka baru termasuk tiga calon bukan Islam di Parlimen Kampar, DUN Pasir Bedamar dan DUN Sungkai.

“Latar belakang calon pula, ada di antara mereka terdiri dari doktor, jurutera, peguam dan aktivis termasuk lima orang calon wanita.

“Calon bukan Islam ialah M Yougan (Kampar), S Kumaresan (Pasir Bedamar) dan J Applasamy (Sungkai) dari Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP). Lingkungan umur yang bertanding pula dari 29 hingga 64 tahun.

"Calon wanita ialah seperti Dr Najihatussalehah Ahmad (Parit), Rohaya Bakar (Bagan Serai) dan Rohawati Abidin (Pasir Panjang),” kata Razman.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pengumuman Calon PRU14 Pas Negeri Perak di Markas Tarbiyyah Air Kuning, di sini, malam tadi.

Namun, pada majlis itu, beliau hanya mengumumkan senarai 19 calon yang akan bertanding bagi kawasan Parlimen dan 43 calon bagi kerusi DUN.

Katanya, dua lagi calon, iaitu bagi Parlimen Beruas dan Taiping, dan baki 15 calon kerusi DUN akan diumumkan kemudian.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Perak, Mohd Akmal Kamaruddin yang akan bertanding di DUN Selama berkata, pihaknya sudah bersiap siaga untuk berhadapan dengan segala kemungkinan pada PRU14.

“Cabaran PRU kali ini sangat sengit,sebab saya pun pernah bertanding dahulu dan situasinya berbeza kerana kita menghadapi tentangan sengit dari Barisan Nasional (BN).

“Kalau ada dua, tiga atau empat penjuru pun tak sengit sangat, sebab hanya melibatkan BN dan Bebas. Kali ini pula, cabarannya tiga penjur,u di mana kedua-dua penentang dari Pakatan Harapan dan BN,” kata Mohd Akmal.

Yougan, yang merupakan Ketua Pemuda DHPP Perak, juga menyatakan kesediaannya untuk berkhidmat kepada masyarakat di DUN Kampar sekiranya diberi kepercayaan.

“Walaupun ini kali pertama saya bertanding, saya akan tempuhi cabaran ini untuk memberi dan membantu masyarakat di Kampar khususnya dan Perak amnya,” katanya.