Pas menyasarkan menang 30 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Justeru, Pas negeri bersama sekutunya, Gagasan Sejahtera, akan bertanding di semua 59 kerusi DUN pada PRU14 akan datang berbanding 22 kerusi pada PRU13 lalu.

Pesuruhjaya Pas Negeri, Razman Zakaria berkata empat calon bukan Islam daripada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) antara 43 calon Pas yang akan bertanding manakala baki 16 kerusi akan menampilkan calon di bawah tiket Gagasan Sejahtera.

Bagaimanapun, Pas Perak tidak mengumumkan calon-calon bagi 24 kerusi Parlimen di negeri itu.

"Pas bersama Gagasan Sejahtera telah membuat persediaan untuk bertanding di semua 59 kerusi DUN di Perak tanpa bekerjasama dengan mana-mana parti atau terikat dengan beberapa penjuru.

"Siapa (calon) bertanding dan di mana (kawasan) bertanding masih lagi dalam keputusan (perbincangan parti)," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua calon yang akan bertanding terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman.

"Calon Pas Perak terdiri daripada calon yang profesional, muda, muslimat, ulama. Kita fahami senario politik Malaysia mempunyai gabungan latar belakang dan pengalaman memerintah negeri," katanya.

"Pas Perak mempunyai lebih daripada 95,000 anggota, 790 cawangan di 24 kawasan Parlimen. Ini menunjukkan Pas mempunyai jentera yang cukup bukan sahaja untuk menghadapi PRU, malah mampu menyusun tenaga pentadbiran di semua peringkat," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Pas Perak akan menyediakan manifesto sendiri dengan mengambil kira pelbagai aspek antaranya urus tadbir, ekonomi, pendidikan dan infrastruktur.

"Manifesto Pas Perak kita sediakan selari dengan manifesto Pas pusat. Manifesto Pas Perak akan dilancarkan selepas pelancaran Manifesto PAS pusat," katanya.

Untuk rekod, Barisan Nasional (BN) kini menguasai 31 kerusi DUN, Pakatan Harapan mempunyai 24 kerusi dengan 18 dipegang oleh DAP, PKR (5) dan Amanah (1) sementara Pas ada empat kerusi.

-- BERNAMA