Pertembungan tiga penjuru bakal berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-14 di beberapa negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Hal ini diakibatkan oleh perpecahan yang berlaku dalam pakatan pembangkang.

Ketua Pegawai Eksekutif, ILHAM Centre, Hisommudin Bakar berkata, pertembungan tiga penjuru itu membuatkan pengundi Melayu sukar membuat keputusan bagi memilih parti yang akan mewakili mereka.

"Negeri yang jelas bakal berlaku pertembungan tiga penjuru ialah di Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

"Pertembungan di negeri terbabit bakal memperlihatkan satu pertembungan yang sengit sehingga mengganggu pengundi untuk membuat keputusan.

"Bagi negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, pertembungan ini mungkin akan berlaku di beberapa kawasan sahaja dan kesan pertembungan ini sedikit kurang berbanding di selatan Semenanjung Malaysia," katanya ketika ditemubual Astro AWANI di sini hari ini.

Tambahnya perkembangan teknologi maklumat di sekitar Pantai Barat Semenanjung turut memberi kesan kepada sosio-budaya masyarakatnya.

"Masyarakat di Pantai Barat Semenanjung mempunyai budaya berfikir yang lebih terbuka serta penilaian maklumat yang lebih rasional.

"Keadaan ini berbeza dengan mereka di Pantai Timur Semenanjung yang dianggap keras dengan pegangan politik mereka," tambahnya.


Sebelum ini Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) telah meluluskan permohonan Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia untuk meminda undang-undangnya termasuk penukaran nama pertubuhan itu kepada Parti Amanah Negara (Amanah).

Penubuhan Amanah memberi tamparan hebat buat PAS dalam mengukuhkan kedudukan politiknya kerana dilihat mampu mencabar kedudukan PAS dalam pilihan raya terutamanya untuk memenangi hati pengundi Melayu.

Dengan penubuhan Pakatan Harapan, PAS dilihat dibiar bersendirian biarpun ada yang berpendapat PKR masih memerlukan PAS untuk memastikan kejayaan pada PRU14.