Restu ibu mengiringi perjuangan dua calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat Syamsul Amri Ismail dan Parlimen Seremban Datuk Chong Sin Woon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Kedua-dua ibu terbabit mengharapkan anak masing-masing beroleh kejayaan dan mampu memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat yang diwakili sekiranya berjaya mendapat mandat.

Ibu kepada Syamsul Amri atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat, Hasnah Rais, 60, berkata beliau merestui perjuangan anaknya itu dan berharap Syamsul akan mengotakan semua janji yang dibuat semasa berkempen.

"Anak saya sebelum ini telahpun meminta restu daripada saya sebelum bersetuju untuk bertanding. Pada mulanya saya tidak bersetuju namun kesungguhan Syamsul telah meyakinkan saya bahawa dia boleh menjadi pemimpin yang baik.

"Dia telah menunjukkan sifat kepimpinan sejak kecil lagi memandangkan dia anak sulung," katanya kepada pemberita selepas program Kasih Ibu Membawa Ke Syurga anjuran Puteri UMNO Bahagian Seremban di sini, malam tadi.

Sementara itu, ibu kepada Chong yang juga Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Liaw Moi, 80, berkata beliau tidak terkejut apabila anaknya terpilih menjadi calon BN pada PRU14.

"Anak saya memang bijak dalam kepimpinan dan seorang yang menyukai permainan melibatkan strategi sejak kecil lagi dan saya berharap dia dapat menggunakan kebijaksanaannya dalam memimpin.

"Walaupun saya sudah berumur 80 tahun saya akan beri sokongan padu kepada Chong dan berharap agar pengundi memberi peluang kepada anak saya untuk berkhidmat kepada mereka," katanya.

Pada majlis itu, Syamsul turut menyambut hari lahir ibunya yang ke-60.

-- BERNAMA