Tiada halangan untuk Pakatan Harapan mengguna pakai simbol atau lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata adalah jelas seperti yang dimaklumkan sebelum ini bahawa mana-mana calon yang berhasrat bertanding atas tiket PKR dan menggunakan simbol PKR tertakluk kepada kebenaran daripada parti itu sendiri, bukannya SPR.

"Namun SPR mengingatkan bahawa bagi tujuan untuk mengambil bahagian dalam PRU14, parti-parti politik mestilah merupakan parti yang didaftarkan dan dibenarkan menjalankan segala aktivitinya di bawah Akta Pertubuhan 1966," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Hashim berkata bagi parti politik yang bersetuju untuk membenarkan mana-mana bakal calon bertanding mewakili parti berkenaan, mereka diminta membawa surat kebenaran bertulis.

BACA.FAHAM.UNDI: IKUTI LIPUTAN KOMPREHENSIF PRU14 DI SINI!


Tambahnya kebenaran bertulis itu mestilah ditandatangani oleh pegawai parti yang bertanggungjawab membenarkan calon itu menggunakan simbol parti tersebut selaras dengan Peraturan 11(2)(d) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.

Mohd Hashim berkata mana-mana calon yang tidak mendapat kebenaran secara bertulis daripada parti yang ingin diwakilinya, sekiranya layak untuk bertanding, pegawai pengurus akan memperuntukkan kepadanya satu simbol yang sedia ada yang telah ditetapkan sebagai ganti.

"SPR menegaskan, selagi mana syarat dipatuhi, individu tersebut adalah layak untuk mewakili mana-mana parti yang telah memberikan kebenaran bertulis tersebut," katanya.

Menjelas lanjut, katanya tiada peruntukan yang menyatakan ahli parti hanya boleh mewakili partinya sahaja dalam PRU.

Katanya SPR juga tidak pernah menghalang selagi Perkara 11(2)(d) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 tersebut dipatuhi sepenuhnya.

Mohd Hashim berkata SPR akan mengeluarkan peraturan dan garis panduan lengkap mengenai penggunaan logo dan bahan kempen dalam masa terdekat untuk menjelaskan kepada semua pihak berkepentingan. - BERNAMA