Tiga parti Kadazandusun Murut (KDM) Sabah menjalin kerjasama bersama Barisan Nasional (BN) bagi mengukuhkan lagi benteng pertahanan BN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Maximus Ongkili berkata kerjasama yang dijalinkan antara parti PBS, Parti Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) adalah bagi memperkuatkan lagi kemenangan majoriti BN di negeri ini.

"Kerjasama yang dijalinkan ini mampu memperkuatkan lagi pertahanan ketiga-tiga parti ini bagi membolehkan mereka memenangi majoriti besar dalam pilihan raya nanti.

"Kami komited dalam mempertahankan kemenangan majoriti, bukan sahaja untuk parti kami tetapi juga kepada kepimpinan BN di negeri ini.

"Jadi ini merupakan satu matlamat BN untuk memenangi 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 10 kerusi di peringkat Parlimen," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Presiden PBS, PBRS dan UPKO, di Pacific Sutera, Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup berkata kerjasama yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga parti berkenaan adalah bagi memfokuskan hala tuju parti tersebut untuk masyarakat di negeri ini.

"Dengan perasaan sehati sejiwa kami bersatu untuk memenangi kesemua kerusi.

"Kami kena memastikan bukan sahaja suara masyarakat KDM yang didengari, malah seluruh masyarakat yang terdapat di negeri ini untuk mencapai matlamat utama penubuhan ketiga-tiga parti ini," katanya.

Turut hadir Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, ahli-ahli UPKO, ahli-ahli PBS dan juga ahli-ahli PBRS.