9 MEI (Rabu) ini merupakan tarikh keramat yang dinantikan oleh semua rakyat Malaysia dalam menentukan siapa pemimpin mereka bagi tempoh lima tahun yang akan datang.

Namun, dalam kita menanti Hari Pengundian, kita perlu mengambil masa sejenak untuk berfikir parti manakah yang layak mendapat undi kita pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Undi anda dan saya amat berharga. Ia bukan sekadar kuasa kolektif yang ada di tangan kita akan tetapi lebih dari itu, ia boleh menjadi faktor yang menentu masa depan kita, anak-anak kita dan nasib agama kita.

Oleh itu, janganlah kita mudah terpedaya dengan gimik politik sehingga kita lupa dari manakah punca kestabilan yang kita kecapi hari ini.

Dalam dunia ini, tiada parti atau ahli politik yang sempurna sifatnya. Jika kesilapan dan kelemahan yang kita cari pada sesuatu atau seseorang, maka kelemahan dan kesilapanlah yang kita akan nampak padanya.

Namun, jika kebaikan yang kita cari maka kebaikanlah yang akan kita nampak. Pokoknya, mencari kesalahan itu sentiasa lebih mudah dari mencari kebaikan.

Persoalan yang perlu ditanya adalah, apakah kuasa undi anda disandarkan pada kelemahan-kelemahan sesuatu parti politik itu? Bagaimana pula dengan kekuatan dan kelebihan mereka? Mengapa kelebihan mereka tidak menjadi sebab anda mengundi mereka?

Apakah media sosial telah merasuk fikiran anda untuk hanya melihat kelemahan sahaja? Saya yakin, anda lebih bijak dari itu.

Dalam era media digital dewasa ini, peperangan informasi, propaganda dan perang saraf politik bertali-arus saban hari tidak henti-henti.

Kesannya, wujud lambakan informasi yang mampu mempengaruhi keseimbangan ideologi dan persepsi politik sedia ada dan seterusnya mempengaruhi keputusan undi kita.

Oleh yang demikian, perlu kita selami dimensi intra-personal diri sendiri dan bertanya “siapakah yang mempengaruhi kuasa mengundi aku sebenarnya?”

Hakikatnya, dunia politik itu banyak ragamnya. Kadangkala politik buat kita rasa meluat dan kadangkala ia buat kita rasa terhibur. Realitinya, undi bukan judi. Undi adalah penentu masa depan bangsa, negara dan agama.

Apa anda berjaya kecapi hari ini adalah kerana pengundi sebelum anda telah bijak memilih pemimpin negara.

Kini, giliran anda untuk menentukan nasib negara, bangsa dan agama anda bagi tempoh lima tahun akan datang.

Fikir-fikirkan dan undilah dengan bijak demi masa depan yang sentiasa terjamin.



* Ahmad Sauffiyan Hasan merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.