Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini memaklumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan berkuatkuasa esok (Selasa) 10 April, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) diadakan.
Pengumuman dibuat selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Kerajaan Negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini hari ini.
"Pagi ini saya telah menghadap Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara berkaitan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Saya bersyukur Tuan Yang Terutama Tun telah memberikan perkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri yang akan berkuatkuasa pada 10 April 2018.

"Saya telah membuat syor yang serupa kepada Mesyuarat Exco sebentar tadi, yang mana telahpun meluluskannya sebulat suara. Surat pembubaran akan dihantar kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini untuk pembubaran hari esok," katanya.

BACA. FAHAM.UNDI: Layari laman #MalaysiaMemilih untuk liputan PRU14 yang komprehensif
Pada majlis itu, Guan Eng juga berterima kasih kepada semua rakyat negeri itu kerana memberi peluang kepada kerajaan pimpinannya mentadbir negeri itu.
Terdahulu, Guan Eng bertemu Tun Abdul Rahman, di kediaman sasmi bagi memohon perkenan pembubaran DUN pagi ini.
Kenderaan dinaiki beliau dilihat memasuki perkarangan kediaman rasmi TYT di Seri Mutiara pada jam 8.30 pagi sebelum keluar kira-kira 30 minit kemudian.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa Sabtu (7 April) bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan menasihatkan semua ketua kerajaan negeri, kecuali Sarawak, menghadap ketua negeri masing-masing bagi mendapat perkenan pembubaran DUN supaya pilihan raya dapat diselaras serentak di seluruh negara.
Tarikh akhir mandat DUN Pulau Pinang ialah pada 28 Jun depan.
Pulau Pinang diperintah Pakatan rRkyat sejak 2008 dan pada pilihan raya umum lepas DAP menang 19 daripada 40 kerusi DUN manakala PKR (10), PAS (satu) dan Barisan Nasional (10). Bagi kerusi Parlimen, DAP menguasai tujuh kerusi, PKR (tiga) dan BN (tiga).