Proses penamaan calon bagi kerusi N27 Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong telah dibuka pada jam 9 pagi ini.

Menurut Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Balakong Datuk Rosli Othman, proses ini dijangka berlangsung selama sejam.

Kedua-dua calon DUN Balakong tiba di pusat penamaan di Dewan Utama Demesne, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat sebelum jam 9 pagi.

Calon MCA Tan Chee Teong hadir pada jam 8.50 pagi bersama isterinya serta Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pemuda MCA Datuk Choong Sin Woon.

Mereka turut diiringi lebih kurang 100 penyokong parti yang membawa bendera logo MCA dan Jalur Gemilang.


Calon DAP Wong Siew Ki pula hadir sekitar jam 8.55 pagi bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Setiausaha Organisasi Kebangsaan Loke Siew Fook serta penyokong-penyokong parti sambil diiringi lebih 150 penyokong yang membawa bendera Pakatan Harapan.


Kerusi Balakong kosong susulan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee pada 20 Julai lalu dalam kemalangan jalan raya.

Hari pengundian bagi kerusi DUN Balakong akan diadakan pada 8 September manakala pengundian awal pada 4 September.