Memutuskan hubungan dengan DAP tidak akan menguntungkan PAS sama ada di Selangor atau seluruh Malaysia, kata penganalisis politik.

Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berkata jika PAS memutuskan hubungan dengan DAP, Pakatan Rakyat masih boleh memerintah Selangor biarpun dengan majoriti yang kecil.

"Pakatan Rakyat masih lagi boleh membentuk kerajaan di Selangor biarpun tidak mendapat dua pertiga majoriti di Dewan Undangan Negeri.

"Tetapi jika perkara ini berlaku, yang rugi adalah PAS kerana yang jelas mereka akan hilang kuasa dan ia akan memberi gambaran kepada rakyat tentang sikap PAS dalam politik hari ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Mengulas lanjut, Dr Shaharuddin berkata jika PAS mengambil keputusan untuk bersendiri ia sebenarnya tidak menguntungkan parti Islam itu dalam perjuangan mereka.

Ini kerana, penerimaan masyarakat terutama yang bukan beragama Islam terhadap PAS banyak bergantung kepada kerjasama yang dibentuk bersama DAP dan PKR, kata Dr Shaharuddin.

Jelas beliau, PAS akan rugi dari segi politiknya kerana usaha menjalinkan kerjasama dengan DAP bukan satu perkara yang mudah mahu dilaksanakan.

"Untuk PAS bekerjasama dengan DAP mengambil masa yang lama, jadi peluang yang ada sepatutnya dijaga demi kepentingan bersama.

"Kalau PAS bersendiri ia cuma akan mendapat sokongan orang Melayu bukan sokongan rakyat berbilang kaum.

"Jika hujah digunakan bahawa PAS ada dewan himpunan yang terdiri dari berbagai kaum dan juga NGO-NGO bukan Islam yang menyokong PAS, ini semua kerana kerjasama dalam Pakatan Rakyat itu, bertahaluf dengan DAP," katanya lagi.

Dr Shaharuddin menjelaskan, masyarakat bukan Islam akan melihat tindakan PAS memutuskan hubungan dengan DAP sebagai sikap yang tidak boleh bekerjasama dengan bukan Islam.

Katanya, dalam situasi sistem dua parti yang semakin diterima, keputusan PAS untuk bersendirian perlu difikirkan semasak-masaknya.

"Jika PAS memilih untuk bekerjasama dengan UMNO juga perlu diperhalusi sebaik-baiknya kerana perlu dilihat kekuatan pihak yang mahu dijalinkan kerjasama itu," jelas beliau.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan partinya sedia untuk memutuskan hubungan dengan DAP ekoran sikap pemimpin parti itu dalam membentu kabinet bayangan.