Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dilantik menjadi Setiausaha Agung parti itu yang baru bagi menggantikan penyandang sebelumnya, Datuk Saifuddin Nasution.

Pelantikan ini disahkan sendiri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberitahu ia tidak menimbulkan sebarang masalah walau Rafizi kini memegang dua jawatan penting di dalam parti.

"Pelantikan itu berkuat kuasa semalam. Ia tidak menjadi masalah meskipun Rafizi telah dipilih sebagai Naib Presiden PKR dalam pemilihan parti baru-baru ini.

"Keputusan Presiden melantik Rafizi sebagai Setiausaha Agung adalah keputusan yang baik," katanya ketrika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Pada Pemilihan PKR baru-baru ini, Rafizi dan Shamsul Iskandar Mohd Akin menyertai dua lagi penyandang Naib Presiden yang berjaya mengekalkan kedudukan, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua.

Kata Anwar lagi, rombakan kecil itu merupakan rentetan selepas pemilihan PKR baru-baru ini.

Jelasnya, bagi keputusan lain, ia akan diumum sendiri Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Saifuddin dipilih selaku Pengarah Pilihanraya PKR bersama seorang lagi Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar bagi menggantikan Mohamed Azmin Ali.

"Ia dilakukan bagi meringankan beban tugas Azmin yang kini menjadi Menteri Besar Selangor," jelasnya.

Anwar bagaimanapun sempat berpesan dan meminta Azmin tidak melupakan Saifuddin dan Nurul dalam membantu menggerakkan tugas baru kepada kedua-duanya.

Ia berikutan pengalaman luas Azmin sendiri dalam menggerakkan jentera parti selama ini.