Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli hari ini ditahan polis selepas membuat laporan isu yang berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penahanan Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR itu disahkan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil pada jam kira-kira 7:30 petang tadi.



Ahli Parlimen Pandan itu menerusi catatan peribadi di Twitter sebelum ini berkata beliau sepatutnya hadir ke balai untuk membuat laporan polis mengenai 1MDB di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Penahanan Rafizi dipercayai berkaitan dengan penganjuran perhimpunan 'Kita Lawan' pada 7 Mac lalu.



Rafizi pada Isnin berkata beliau akan membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan dua lagi individu, Low Taek Jho dan Datuk Shahrol Halmi berhubung isu 1MDB.

Katanya Jho Low, seorang ahli perniagaan dan juga Shahrol, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB perlu disiasat kerana melanggar Akta Pengubahan Wang Haram dan pecah amanah.

Sementara itu Bernama melaporkan Rafizi ditahan pukul 7 malam tadi mengikut Seksyen 9 (5)Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata keterangan Rafizi diperlukan berkaitan dengan himpunan #KitaLawan.

Perhimpunan itu diadakan bagi menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan meliwat.

Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad dan seorang kakitangan Majlis Perbandaran Subang Jaya, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli ditahan pada Sabtu lepas, bagi membantu siasatan.