Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengakui menyuruh calon PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S Streram supaya merempuh masuk ke pusat penamaan calon di Rembau, Sabtu lalu.

Menurutnya, tindakan itu diambil selepas pakar bius berkenaan dihalang masuk ke pusat penamaan calon untuk menghantar borang pencalonannya hanya disebabkan tidak membawa pas calon.

"Sebaik saya dapat maklumat mengenai itu, saya terus hubungi Streram dan minta dia beri telefon kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO). Tapi, sombong tak mahu bercakap dengan saya, saya akan cari dia sampai lubang cacing.

"Kemudian hubungi rakan lain di sana dan diberitahu Pengarah SPR cakap boleh masuk, tapi tak dapat juga. Sebab itu saya suruh Streram rempuh masuk kerana itu hak dia.

"Kesian dia, dia pakar bius bila rempuh nak kena tahan dan gari bagai," katanya ketika ceramah gabungan pembangkang PKR di Ampangan, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun beliau berkata, meskipun Streram gagal untuk bertanding pada PRU14, namun ada hikmah disebaliknya.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kejadian itu bukan sahaja menyebabkan pakar bius itu dikenali ramai, malah telah membuka mata rakyat Malaysia atas sikap pemimpin UMNO-BN.

"It's ok... hero kan selalu kalah dulu. Tapi, saya nampak apa yang berlaku telah menyatukan kita kerana ia isu keadilan. Kamu (UMNO-BN) nak takut kenapa, kamu kan kuat.

"Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dicanang sebagai Menteri Besar paling hebat dan popular sepatutnya tidak perlu risau untuk bersaing dengan Streram," katanya.

BACA: Kemenangan pertama BN ... Mohamad Hasan menang tanpa bertanding di Rantau

BACA: Sah! Dr S. Streram tidak masuk Islam

Namun beliau percaya disebabkan isu berkenaan tumpuan kini lebih diberi kepada Negeri Sembilan yang merupakan antara negeri sasaran Pakatan Harapan untuk dimenangi pada PRU14.

"Negeri Sembilan ini, kita terlepas sikit saja dalam PRU13 dan sebab itu persediaan kita di sini lebih tersusun berbanding sebelum ini.

"Saya percaya undi kaum Cina 80 peratus, kita akan dapat dan dengan apa terjadi pada Streram, kita sudah dapat undi simpati," katanya.