Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berpendapat Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli boleh bertanding jawatan presiden parti itu jika beliau mahu berbuat demikian.

Jelasnya, ia berikutan PKR adalah parti demokratik dan setiap orang ada hak masing-masing.

"Rafizi pun boleh bertanding Presiden kalau dia mahu. Ini parti demokratik dan kita kekal dengan prinsip ini," katanya.

Beliau dalam sidang media selepas melancarkan Program Menyantuni dan Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat Menteri Besar Selangor Ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Padang Rakyat, Jalan Kebun, di sini hari ini.

Amirudin mengulas spekulasi berhubung dakwaan bahawa bekas Ahli Parlimen Pandan itu mahu bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR daripada penyandang jawatan itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Memetik laporan akhbar The Star baru-baru ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebut berkaitan nama Rafizi sewaktu berbincang mengenai rancangan masa depannya yang akan menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dua tahun lagi.

Dalam pada itu, ditanya sama ada jawatan nombor satu dalam PKR itu akan turut ditandingi Mohamed Azmin, ini jawapan Amirudin:

"Semua ada hak masing-masing. Saya menghormati hak masing-masing tetapi saya tidak boleh komen di sini sebab nanti timbulkan spekulasi. Parti ini membenar dan meraikan demokrasi. Kita tidak pernah ada halangan tertentu dalam mana pertandingan dan beberapa penjuru," jelasnya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, beliau akan turut bertanding pada pemilihan parti, namun bukan dalam lima jawatan tertinggi PKR.

"Setakat ini saya fokus Gombak iaitu Timbalan Ketua Cabang. Setakat ini tiada perubahan. Untuk peringkat tertinggi sudah pasti saya akan terlibat tetapi belum lagi mana posisi hendak ditandingi sebab keutamaan saya sekarang ialah Selangor dan melaksanakan tugas di Selangor. Suara saya juga diperlukan di pusat. Namun begitu secara jujur saya tidak akan mengambil jawatan lima teratas," ujarnya.

Pemilihan PKR akan bermula pada penghujung Ogos dan nama-nama calon perlu diserahkan pada 27 Julai hingga 29 Julai.