Rakyat akan ragui kestabilan PH jika tukar MB Perak - Penganalisis

Rakyat akan ragui kestabilan PH jika tukar MB Perak - Penganalisis
Dr Sivamurugan percaya pertukaran menteri besar tidak akan berlaku atas faktor sokongan yang diterima oleh Ahmad Faizal untuk terus menerajui Perak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pergeseran dalaman Pakatan Harapan (PH) Perak jika tidak ditangani dengan segera dan cermat mampu menimbulkan keraguan di kalangan rakyat terhadap kestabilan kerajaan negeri, kata penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian.

Dr Sivamurugan berpendapat, rakyat akan mempersoalkan kenapa perlu Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu perlu ditukar hanya kerana wujudnya perselisihan dalaman.

Katanya, perwatakan Ahmad Faizal yang mesra disapa Peja itu amat disenangi rakyat dan sebarang usaha menukar beliau akan menimbulkan persepsi negatif dikalangan rakyat terhadap PH.

“Menteri Besar ini mempunyai perwatakan yang disukai rakyat dan ini sudah pasti rakyat akan menyoal kenapa perlu pertukaran hanya kerana berlaku perselisihan dalaman.

“Pertukaran ini bukan hanya memberi impak kepada menteri besar tetapi juga kepada kerjasama antara parti dalam Pakatan Harapan di peringkat pusat.
BACA: Dakwaan jatuhkan MB Perak: 'Jangan cabar saya' - Saarani

BACA: 'Memang ada komplot jatuhkan MB Perak' - Nga Kor Ming

“Krisis ini boleh membesar jika tidak dikawal dan akan menimbulkan persepsi negative rakyat terhadap kerjasama antara parti komponen PH,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.

Dr Sivamurugan juga berpendapat, pertukaran menteri besar Perak akan memberi kesan besar terhadap politik negara.

Hujah beliau, krisis di Perak itu memberi gambaran kepada rakyat bahawa terdapat pergeseran antara parti yang diterajui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan parti komponen PH.

"Kesannya bukan hanya di Perak tetapi ia turut memberi kesan besar terhadap politik tanahair," katanya lagi.

Beliau percaya pertukaran menteri besar tidak akan berlaku atas faktor sokongan yang diterima oleh Ahmad Faizal untuk terus menerajui Perak.

“Namun kita perlu melihat apakah benar wujud desakan seperti ini atau desakan ini datang dari pihak lain yang memesongkan isu sebenar yang mungkin berlaku di Perak,’ katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad mendakwa terdapat usaha di kalangan Exco kerajaan negeri yang menawarkan sekurang-kurangnya lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO dengan pelbagai tawaran untuk menjatuhkan Ahmad Faizal.

Ekoran dakwaan itu, beberapa pihak termasuk Exco kerajaan negeri dan wakil rakyat kerajaan tampil menafikannya dan mendesak Saarani mendedahkan nama Exco berkenaan.

Saarani berkata, beliau bersedia untuk mendedahkan nama Exco kerajaan negeri Perak yang didakwa cuba menjatuhkan Menteri Besar tetapi dengan syarat, semua 10 Exco di negeri ini bersetuju jika nama mereka didedahkan.