Rakyat berhak menilai sejauh mana kekuatan parti baharu yang akan diasaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mampu memberi impak kepada mereka selain cabaran kepada Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi menegaskan, kekuatan itu boleh dilihat daripada sokongan Ahli Parlimen PN sendiri yang mungkin cenderung untuk menyertai parti baharu tersebut.

"Sekiranya parti baharu Dr Mahathir ini mampu menarik lima Ahli Parlimen daripada PN, ini merupakan satu ukuran luar biasa kewujudan parti tersebut dalam konteks semasa ini. Jadi apa-apa parti pun yang dibentuk, ia perlu mendapat sokongan daripada rakyat, kedua ia mampu menarik pihak di parti lain untuk menyertai parti tersebut.

"Bukan sekadar Ahli Dewan Undangan (ADUN) sebab dalam konteks ADUN, ia kurang memperikan impak kepada politik nasional, ia hanya impak di peringkat negeri sahaja atau impaknya hanya sedikit. Tapi kalau kita hendak melihat impak yang besar ia perlu melibatkan ahli Dewan Rakyat atau Ahli Parlimen.

"Saya kira jika lima Ahli Parlimen PN menyertai parti baharu itu, saya fikir itu impak yang terbesar dan ini akan memberikan 'wow' kepada parti itu sendiri," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Ahad.

BACA: Tubuh parti baharu bawa lebih banyak perpecahan orang Melayu - Rais Yatim

BACA:
Penubuhan parti baharu Tun Mahathir tidak jejas perjuangan Bersatu

Sebelum ini, Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim sebelum ini berkata, tindakan Dr Mahathir menubuhkan satu lagi parti politik Melayu disifatkan hanya menimbulkan lebih banyak perpecahan dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

Tegasnya, parti politik bertunjangkan bangsa Melayu sudah banyak selain asas penubuhan parti baharu itu juga dilihat kurang jelas.

Dalam pada itu, Dr Awang Azman berkata, mana-mana parti yang berteraskan perjuangan kepada rakyat akan mampu bertahan lama berbanding dipimpin nama besar tetapi mempunyai pengikut yang sangat sedikit.

"Kalau parti itu dipimpin oleh nama besar tetapi pengikutnya tidak ada atau sangat sedikit, ini tidak memberikan impak kepada rakyat. Tetapi kalau parti tersebut berteraskan perjuangan dan didokong oleh rakyat, maka parti itu akan mampu bertahan berbelas tahun seperti yang dibuktikan UMNO, Pas, PKR dan DAP.

"Jadi yang pentingnya, sejauh manakan parti baharu itu mampu menarik penyertaan akar umbi, yang kedua sejauh mana parti itu mampu menarik Ahli Parlimen lain terhadap keterujaan terhadap fenomena parti baharu tersebut," ujarnya.

Dr Mahathir menerusi sidang media khas sebelum ini turut mengumumkan penubuhan parti baharu yang tidak terikat atau menyokong mana-mana gabungan parti sama ada Pakatan Harapan (PH) atau PN.