Rakyat kini sudah bosan menunggu perubahan oleh kerajaan walaupun Pakatan Harapan baru berkuasa selama tujuh bulan, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad.

Disebabkan itu, katanya, rakyat tidak memberi perhatian terhadap tindakan undang-undang yang diambil terhadap pemimpin dahulu.

Jelas beliau, kerosakan yang ditinggalkan kerajaan terdahulu banyak tersembunyi dalam jentera kerajaan dan kewangan negara.

"Malangnya, rakyat sudah bosan dan tidak lagi memberi perhatian kepada kesalahan kerajaan terdahulu. Mereka hanya ingin lihat hasil pemulihan negara oleh kita.

"Ramai rakyat yang tidak pun memberi perhatian kepada tindakan undang-undang yang diambil terhadap pemimpin dahulu. Sebaliknya dengan lantang pemimpin dahulu cuba mengajar kita tentang cara-cara kita tangani masalah.

"Masalah yang ditinggal oleh mereka. Jika mereka begitu pandai, kenapakah mereka tidak betulkan kerosakan semasa mereka memerintah dahulu," katanya dalam ucapan dasar Pengerusi Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Sabtu.

Jelas Dr Mahathir, amatlah mengecewakan apabila ada yang menolak kesalahan yang jelas telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.

"Jika kesalahan mereka tidak diproses mengikut undang-undang maka kita akan dituduh melepas geram dan membalas dendam.

"Tetapi proses undang-undang mengambil masa. Untuk dilihat kita memerintah mengikut undang-undang kita perlu terima kelewatan proses," ujarnya.

Pakatan Harapan mencipta sejarah apabila berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang berkuasa lebih 60 tahun pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu.