Masyarakat di negeri Sabah diseru agar tidak terpengaruh dengan dakyah sesetengah pihak yang cuba menghasut untuk merosakkan keharmonian dan kestabilan politik di negeri ini.

Menteri Telekomunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Dr Salleh Said Keruak berkata, terdapat pihak tertentu yang cuba menggugat kestabilan di negeri ini atas dasar kepentingan politik dan kepentingan diri semata-mata.

"Janganlah kita terpengaruh dengan pihak tidak bertanggungjawab ini yang mendakwa selama ini kita di Sabah tertindas dan terabai kerana untuk menjaga kestabilan dan keharmonian di negeri ini, kita harus bersikap sederhana dan saling menghormati sejajar dengan apa yang kita panggil sebagai semangat 1Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Kesyukuran Rumah Terbuka Tahun Baru Gabungan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Terawi dan Paroki Holy Nativity Parish Terawi di Kampung Terawi Penampang, hari ini.

Salleh turut menyatakan, masyarakat juga perlu bijak dalam membuat pilihan ketika pilihan raya dengan memilih kerajaan sedia ada kerana prestasi cemerlang kerajaan telah terbukti dengan pelaksanaan pembangunan dan kestabilan politik yang telah dikecapi sejak kemerdekaan.

"Apabila tiba pilihan raya nanti, kita keluar untuk memilih parti pemerintah yang mampu meneruskan kesinambungan kepada kestabilan, pembangunan dan juga masa hadapan negara khususnya negeri ini."

"Pihak lain iaitu pembangkang mereka hanya mengutamakan kepentingan politik semata-mata dan hanya timbul ketika pilihan raya dan selepas pilihan raya mereka akan hilang kerana tujuan mereka hanya atas dasar kepentingan politik semata-mata," katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan sentiasa komited dalam memperjuangkan dan menunaikan apa yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan jika terdapat perkara yang memerlukan penyelesaian, pintu perbincangan sentiasa terbuka untuk mencari jalan penyelesaian.

"Perdana Menteri kita juga ada mengatakan sebelum ini yang jika terdapat hak-hak yang tidak tertunai atau terambil kita akan kembalikan dan sebab itu juga kita wujudkan jawatankuasa-jawatankuasa tertentu untuk mengkaji masalah ini agar dapat kita selesaikan," katanya.

Sempena majlis berkenaan, Salleh turut meluluskan peruntukan berjumlah RM200,000 bagi membaik pulih tempat meletak kenderaan di kawasan berkenaan, meluluskan peruntukan berjumlah RM400,000 bagi membaik pulih dewan serta turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai kepada seramai 66 orang warga emas.

Yang turut hadir Ketua Bahagian UPKO Bahagian Penampang Datuk Donald Mojuntin, Ketua UMNO Penampang Datuk John Ambrose, dan Pegawai Daerah Penampang Luvita Koisun.