Usaha pembangkang untuk 'membrexitkan' (membawa keluar) Sabah daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan berjaya kerana rakyatnya telah matang melalui pengalaman berada di bawah pemerintahan parti pembangkang sebelum ini.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata pengalaman itu menjadi pengajaran kepada rakyat Sabah kerana pelbagai pembangunan dan kemajuan mulai dinikmati selepas BN kembali menguasai negeri itu.

Beliau, yang juga Anggota Parlimen Papar, berkata isu untuk mengajak rakyat keluar daripada BN juga adalah 'isu lama yang diulang tayang' termasuk oleh pemimpin yang pernah bersama-sama dalam perjuangan UMNO, namun memilih untuk berubah arah.

Katanya, isu membawa keluar Sabah daripada UMNO dan BN merupakan satu pengkhianatan dan usaha untuk memecahbelahkan kesatuan yang sudah ada dalam kalangan rakyat Sabah.

Saya yakin rakyat Sabah juga sudah bijak membuat penilaian yang mana satu boleh membawa lebih banyak kebaikan kerana mereka idak boleh meletakkan kepercayaan kepada pembangkang yang hanya datang bermusim, iaitu semasa pilihan raya," katanya.

Rosnah, yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Maran di Pekan Tajau di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran.

Brexit merujuk kepada langkah Britain yang keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) sebelum ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kesediaan Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen Pekan pada pilihan raya umum akan datang, Rosnah berkata perkara itu mengukuhkan betapa bekas perdana menteri itu sudah menjadi kuda tunggangan pembangkang.

Beliau juga menyifatkan tindakan itu sebagai suatu yang 'menyedihkan' kerana apa yang dilakukan Dr Mahathir sangat berbeza daripada tunjuk ajarnya kepada beliau selaku pemimpin UMNO yang diketengahkan pada zaman kepimpinannya.

-- BERNAMA