Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan semangat konsensus dalam Barisan Nasional (BN) adalah kerjasama yang utuh dan wajar menerima kepercayaan dari rakyat.

Datuk Seri Najib berkata perhubungan ini lahir daripada kerjasama yang sudah terjalin selama berdekad lamanya.

"Kerjasama dengan MCA sebagai contohnya, sudah menjangkau 64 tahun. Pelbagai keputusan berkaitan dasar negara yang dibuat adalah daripada kerjasama yang rapat ini.

"Adakah pembangkang mempunyai kerjasama sekukuh ini?

"Ingat (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) suka (Lim) Kit Siang? Ingat Kit Siang suka Mahathir? Ini politik hipokrit!" kata Datuk Seri Najib dalam ucapannya ketika merasmikan Perhimpunan Agung MCA ke-63 di Wisma MCA di ibu negara, di sini hari ini.

Selain itu, beliau turut memuji MCA kerana dilihat semakin kukuh berbanding sebelum ini.

"Tiada lagi Pasukan A atau Pasukan B. Hanya Pasukan MCA. Ini bagus. Barulah mudah untuk berurusan," kata Datuk Seri Najib.

Perdana Menteri juga memaklumkan beliau bersedia melakukan segala yang termampu untuk komuniti Cina.

Namun, beliau berharap untuk meraih sokongan tanpa berbelah bahagi daripada kaum tersebut.

"Saya boleh tolong tetapi komuniti Cina kena respon secara positif. Tidak bolehlah minta dari Kerajaan Barisan Nasional tetapi undi DAP," katanya.

Selain Datuk Seri Najib, pimpinan tertinggi BN turut hadir untuk Perhimpunan Agung MCA.

Perhimpunan Agung MCA membuka tirai dengan ucapan dasar dari Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.