Exco Pemuda Umno Malaysia Bastien Onn menggesa Menteri Kewangan Lim Guan Eng agar turun ke bawah melihat sendiri apa yang menimpa rakyat sejak Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan.

Dakwanya, ramai yang bukan hanya hilang pekerjaan, malah jelasnya pemantauan Pemuda Umno di seluruh negara pada bulan Ramadan lalu mendapati ada yang terpaksa menerima potongan gaji mereka semata-mata untuk terus kekal bekerja.

Ia sekaligus jelasnya tidak langsung mengambarkan kedudukan ekonomi seperti yang sering dibanggakan oleh Menteri Kewangan itu.

“Menteri Kewangan, Lim Guan Eng perlu tahu bahawa keadaan ini tidak langsung mengambarkan kedudukan ekonomi yang sering beliau banggakan. Kebanyakan mereka (rakyat) hilang pekerjaan atau ada di antara mereka terpaksa menerima potongan gaji demi untuk kekal bekerja,” katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada media.

Malah dakwanya, keadaan eksport dan import yang tidak mampan, jumlah pelaburan yang menurun dan kemusnahan pasaran saham Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) turut menjadi punca ramai hilang pekerjaan dan mata pencarian.

Lebih malang katanya nasib peneroka Felda katanya jelasnya yang paling terkesan apabila kegagalan kerajaan Pakatan Harapan memastikan harga komoditi sawit meningkat.

“Kerajaan jangan hukum peneroka Felda kerana kegagalan mereka sendiri mentadbir ekonomi negara. Peneroka hanya membekalkan buah sawit kepada negara, sekiranya harga komoditi ini turun disebabkan oleh kegagalan usaha kerajaan meningkatkan harga sawit telah gagal,” dakwa Bastien lagi.

Bantuan raya juga jelasnya menunjukkan bahawa Peneroka Felda tidak menerima manfaat serta nikmat seperti dulu.

“Hanya RM300 diumumkan kerajaan sebagai bantuan raya, jelas membuktikan bahawa kedudukan ekonomi dibawah Pakatan Harapan telah gagal berbanding pentadbiran Barisan Nasional dimana peneroka menerima RM780,” ujar Bastien.

Prihatin dengan keadaan ekonomi ketika ini jelasnya Pergerakan Pemuda Umno Malaysia akan terus memantau dan memainkan peranan menyampaikan suara hati rakyat.