Secara tradisinya, Pas suka mengetengahkan idea wau bulan dengan bendera Pas paling besar sebagai lambang 'penerbangan ke bulan' yang diperjuangkan selama ini.

Mahu memartabatkan syiar Islam melalui politik menjadi kiblat utama perjuangan parti ini yang kini membawa konsep Malaysia Sejahtera melalui Gagasan Sejahtera.

Selaras dengan perkembangan teknologi, Pas juga kini melakukan 'revolusi wau bulan' untuk kita sama-sama terbang ke negara sejahtera.

"Ni kami dok sedia nak 'terbang' pi (pergi) Putrajaya untuk Malaysia!"

Itulah ungkapan salah seorang jentera Pas yang ditemui di salah sebuah kampung berdekatan Jalan Parit Panjang, Sik sambil menunjukkan sebuah replika di tepi sebuah jalan utama di sini.

Kapal terbang



Ketika kami menyelusuri sebuah jalan menuju ke Baling, mata kru Astro AWANI tertumpu kepada sebuah kapal terbang yang berada di sebuah kampung berdekatan.


"Wow! Ini kapal terbang Pas," kata seorang rakan kami yang membantu menunjukkan jalan untuk kami ke Baling.

Kami berhenti untuk merakamkan foto kenangan kerana apa yang kami temui kali ini sepanjang liputan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di seluruh negeri Jelapang Padi ini amat berbeza!

Sebuah kapal terbang (jika diamati secara dekat direka a'la model kapal terbang berprestif) berwarna hijau dihiasi bendera Pas. Replika itu dihias dengan tangga. Cukup kreatif!

Cukup menarik!

Kami meneruskan perjalanan melalui Kampung Surau, Mukim Siong. Di situ, kami turut menemui sebuah 'kenderaan' berupa helikopter yang lengkap dihiasi dengan lambang Pas.


"Adik, mai la minum dulu!" panggil Pak Long Man, salah seorang petugas Pas di PDM Kampung Surau sambil melambai ke arah kami.

Sambil tersenyum, Pak Long Man menuangkan kopi O untuk kami.

"Kali ni, pilihan raya memang best! Meriah sungguh pasal kita bertanding tiga penjuru," katanya.

PRU14, Malaysia Memilih

PRU14 ini menyaksikan Pas bertanding di kesemua 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri di Kedah menjadikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru di negeri Jelapang Padi.

Sebagai sebuah parti yang pernah memerintah Kedah pada penggal 2008-2013 lalu, kesemua penyokong tegar Pas kini percaya bahawa rakyat Kedah bakal mengembalikan 'zaman kegemilangan' bersama Pas untuk PRU kali ini.


Namun, penampilan 70 peratus muka baharu sebagai calon, Pas sentiasa istiqamah dan positif dalam merubah lanskap politik di negara ini.

'Sejarah mungkin berulang'

Kerjasama Pas - UMNO pada era 70-an ternyata memberi manfaat sehingga BN boleh menang besar dalam PRU keempat pada 1974.

Namun, kali ini Pas bergerak 'seorang diri' malah kalau dilihat pergerakan jentera parti di peringkat akar umbi nyata sekali pergerakan parti itu strategik dan terurus.

Melihat kepada keupayaan jentera Pas mempamerkan kreativiti kempen mereka, parti itu antara yang terkehadapan dalam usaha menarik perhatian rakyat.

"Kita percaya dengan keupayaan pengurusan dan kepimpinan setiap calon yang bertanding dalam PRU kali ini, kata Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi ketika pengumuman calon Pas, beberapa minggu lalu.

"Kami yakin dengan semangat jentera pilihan raya yang tinggi ketika ini, Pas mampu menang besar kali ini," tambahnya.