Presiden Parti Pribumi Bersatu (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Barisan Nasional (BN) seakan tidak mempunyai banyak pilihan kerana menamakan calon muka lama atau calon 'recycle' untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Jelasnya, hanya pengundi yang boleh menilai sejauh mana keberkesanan strategi dilakukan BN berbanding Pakatan Harapan yang banyak mengetengahkan calon muda.

"Mungkin mereka tidak banyak pilihan, kalau hendak ketengahkan yang baharu, bagi mereka mungkin itu tidak sesuai. Itu masalah mereka. Yang penting, baik usia dia muda tetapi dia hebat dan berkelayakan.

"Rakyat boleh membuat perbandingan dengan BN terserah pada mereka," katanya dalam sidang media di laman Facebook PPBM di sini hari ini.

Bagaimanapun tegas Muhyiddin, Pakatan Harapan tidak sesekali memperkecilkan calon yang diketengahkan BN terutama mereka yang diletakkan di kerusi DUN dan Parlimen di Johor, iaitu kawasan yang turut ditandingi beliau.

"Kita tidak kisah siapa yang mereka (BN) letak jadi calon, saya lihat banyak muka-muka lama, tetapi apa-apa pun kita tidak boleh perkecilkan mereka, let's be very frank.

"Kita faham mereka juga dianggap sesuai menjadi calon. Yang penting pengundi boleh membuat penilaian, bukan setakat individu calon, tetapi dasar perjuangan parti yang diwakili calon," ujarnya.

Apa yang penting katanya, Pakatan Harapan menawarkan manifesto yang dianggap sukar untuk ditolak rakyat.

"Kita akan menghapuskan GST sebab di mana-mana kita pergi, orang mengadu pasal GST. Kemudian komitmen banteras rasuah. Rasuah akan diperangi dan reformasi institusi, parlimen, perundangan dan sebagainya, malah, melihat semula kuasa Perdana Menteri dan Menteri Besar," katanya.