Dianggarkan lebih empat ribu orang menyertai perhimpunan kemuncak #KitaLawan di KLCC, Kuala Lumpur yang berlangsung hari ini.

Perhimpunan bermula dengan para peserta berkumpul di beberapa lokasi ditetapkan di ibu negara iaitu di pusat beli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Pasir Seni sebelum berarak dan akhirnya berkumpul di KLCC.

Keadaan menjadi sesak di beberapa jalan utama di Kuala Lumpur termasuk di Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tunku Abdul Rahman berikutan perarakan yang diadakan oleh peserta yang rata-ratanya memakai baju berwarna hitam.

Sekitar jam 5 petang, beberapa bunyi letupan kedengaran berdekatan Masjid Jamek, Sogo dan KLCC. Namun kemudiannya dilaporkan hanyalah bunyi mercun. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Turut hadir pada perhimpunan ini ialah barisan kepimpinan Pakatan Rakyat antaranya Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah; dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Turut kelihatan ialah aktivis Adam Adli dan Hishamuddin Rais.

Tian Chua dalam ucapannya menaruh keyakinan bahawa perhimpunan ini akan membawa perubahan kepada senario politik tanah air.

"Tindakan tuan-tuan dan puan-puan menyertai (perhimpunan) adalah patriotik. Ini adalah semangat perlembagaan. Ini adalah kerana kita tidak sanggup melihat negara kita dikhianati oleh pemimpin rasuah.

LAPOR LANGSUNG PERHIMPUNAN 'KITA LAWAN'

"Hari ini tidak cukup ramai. Kita akan kembali dengan jauh lebih besar," tambah Tian Chua.

Perhimpunan 'Kita Lawan' berakhir pada jam 6.15 petang.

KITA LAWAN
Peserta perhimpunan 'Kita Lawan' berkumpul di KLCC selepas berarak daripada beberapa tempat - Foto Astro AWANI / MARIAH AHMAD

Kita Lawan,
Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dr Wan Azizah (tengah) bersama anaknya Nurul Nuha ketika di perhimpunan Kita Lawan - Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Kita Lawan
Antara gimik peserta perhimpunan 'Kita Lawan' di KLCC - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Sebelum ini pada 4 Mac, Polis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan haram di ibu negara Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata perhimpunan tersebut melanggar undang-undang dan mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan kerana ia bercanggah dengan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sementara itu, kalangan orang ramai yang berada di sekitar lokasi meluahkan rasa takut dan terkejut dengan perhimpunan ini.

"Saya baru sahaja pulang daripada membeli-belah bersama-sama keluarga. Terkejut apabila tiba-tiba keluar dari kedai dan nampak lautan manusia berbaju hitam di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman.

"Sampai rasa takut nak balik. Benda (perhimpunan) ini sedikit sebanyak mengganggu aktiviti seharian orang awam," kata seorang wanita yang tidak mahu dikenali.

Selain itu, pemandu bas awam yang mahu dikenali sebagai Bob berkata dia terpaksa menunggu lebih setengah jam kerana terperangkap dalam kesesakan itu.

"Saya dah tunggu lama dah ni. Tak gerak-gerak kerana perhimpunan ini," katanya yang pada ketika itu terperangkap dalam kesesakan di Jalan Sultan Ismail.

Perhimpunan 'Kita Lawan' diadakan bagi menyatakan bantahan terhadap pemenjaraan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar setelah mendapatinya bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lalu.