Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM743 juta untuk pembinaan jalan di kawasan pedalaman seluruh Sarawak di bawah projek Jiwa Murni Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata projek itu dilaksanakan oleh Kor Jurutera ATM melibatkan jalan sepanjang 1,223km.

"Ia dilakukan sama ada menaik taraf bekas jalan balak kepada jalan luar bandar ataupun melakukan jajaran baharu bagi mewujudkan sambungan kepada jalan sedia ada untuk ke kawasan pedalaman khususnya di rumah panjang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan projek Jiwa Murni ATM menaik taraf jalan di Skim Rancangan Sepupuk di Niah, lebih 80km dari sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata peruntukan RM743 juta itu merupakan kelulusan khas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang disalurkan sebahagian besarnya kepada Kementerian Pertahanan, selain Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Ahmad Zahid, bagaimanapun tidak menyatakan bila projek melibatkan peruntukan itu bermula, dan tempoh projek berkenaan.

"Apa lebih penting, rakyat di Sarawak khususnya di pedalaman dapat mengurangkan kos pengangkutan, dan harga barangan keperluan dapat dikurangkan daripada harga yang tinggi.

"Sebagai contoh gas memasak, dulu berharga RM50 setong, kini antara RM24 dan RM28 setong. Indeks harga pengguna yang rendah disumbangkan oleh kos pengangkutan yang dikurangkan melalui tempoh perjalanan yang berkurangan," katanya

Timbalan Perdana Menteri berkata dengan adanya jalan yang baik, status ekonomi di kawasan sekitar projek Jiwa Murni itu boleh dipertingkatkan.

"Kegiatan ekonomi seperti aktiviti pertanian oleh penduduk setempat...dulu susah untuk dipasarkan ke luar, tetapi dengan adanya jalan ini, ia mencapai tahap kebolehpasaran yang tinggi.

"Bila tiba hari perayaan seperti Krismas dan Tahun Baru, dulu perjalanan yang memakan masa berhari-hari atau berpuluh-puluh jam menggunakan kenderaan berat, motosikal atau berjalan kaki. (Tetapi kini) kampung yang dibina jalan Jiwa Murni akan membolehkan anak-anak balik ke kampung menaiki kereta sendiri," katanya.

Projek Jiwa Murni ATM bermula sejak 2009.

Timbalan Perdana Menteri berkata Kor Jurutera ATM mempunyai kepakaran dalam membina dan menaik taraf jalan dengan menggunakan peruntukan lebih rendah berbanding pihak lain.

"Kalau ikut anggaran Jabatan Kerja Raya (JKR), kos setiap kilometer jalan adalah RM6 juta tetapi ATM buat kira-kira RM2 juta. Kerajaan jimat RM4 juta bagi setiap kilometer kerana ATM tidak ambil untung. Projek jalan oleh ATM juga dibuat dalam tempoh lebih singkat berbanding pihak lain," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Perdana Menteri dalam tempoh kira-kira tujuh tahun, telah memberikan peruntukan kepada Sarawak berbilion-bilion ringgit.

Ahmad Zahid juga berkata Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah meluluskan projek Bekalan Air Luar Bandar bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu melibatkan kos RM94.5 juta, selain projek membina dan membaiki Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sebanyak RM1.5 juta untuk kawasan DUN itu.

Projek Jiwa Murni Menaik Taraf Jalan Skim Rancangan Sepupuk dibina menggunakan kaedah baharu dengan kos RM35.5 juta, dan tempoh projek selama 12 bulan mulai 13 April 2016 hingga 12 April 2017.

Jalan berturap sepanjang 18km itu akan memberi faedah kepada 14 rumah panjang melibatkan kira-kira 4,000 penduduk.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Bekenu, Rosey Yunus.