Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak akan menyiarkan secara langsung debat antara bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata perdebatan, yang dijadual diadakan di Kuala Kangsar, Perak, pada 25 Mac ini, adalah semata-mata antara dua individu berkenaan.

"Debat ini bukan anjuran RTM... kita tidak ada perancangan untuk menyiarkan perbahasan itu secara langsung," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihaknya akan membenarkan majlis perdebatan dan telah menerima permohonan permit daripada pihak penganjur.

Debat yang dijadual diadakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar itu hebat diperkatakan akhir-akhir ini kerana akan menyentuh isu berbangkit dalam negara antaranya skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF).

Dalam perkembangan lain, Salleh berkata tindakan mensabotaj ekonomi negara adalah perkara yang serius dan merugikan rakyat.

Beliau berkata kenyataan salah yang dikeluarkan pembangkang seperti Malaysia adalah sebuah negara tidak stabil, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hampir bangkrap dan kerajaan tidak berkemampuan untuk membayar gaji penjawat awam adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.

"Pembangkang seharusnya mengkritik kerajaan secara konstruktif dan berdasarkan fakta dan bukannya atas kepentingan politik mereka sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa Malaysia hampir terlepas pelaburan besar dari Saudi Aramco kerana sikap tidak patriotik sesetengah pihak yang menyalurkan maklumat tidak betul mengenai negara kepada syarikat minyak Arab Saudi itu.

Katanya, orang ramai diminta jangan mempercayai maklumat yang diviralkan di media sosial sepenuhnya dan merujuk terlebih dahulu di portal SEBENARNYA.MY.

Portal tersebut bertindak sebagai sebuah pusat sehenti yang dibangunkan bagi mengekang penularan berita-berita palsu dalam talian, membolehkan masyarakat menyemak kesahihan maklumat yang diterima.

Ditanya mengenai tindakan kerajaan untuk mengharamkan tayangan filem 'Beauty and the Beast' sekiranya Walt Disney enggan menapis adegan gay seperti yang dicadangkan Lembaga Penapisan Filem (LPF), Salleh berkata LPF pasti mempunyai asas yang kukuh mengeluarkan arahan itu.

"Kita tunggu keputusan akhir dari LPF," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai untuk tidak mengeruhkan keadaan berkaitan isu diplomatik Malaysia dan Korea Utara dengan mentularkan berita palsu di media sosial kerana Malaysia akan melakukan rundingan secara rasmi dengan negara itu berhubung sembilan rakyat Malaysia yang tidak dibenarkan keluar daripada negara itu.

Pertikaian diplomatik tercetus antara Malaysia dan Korea Utara susulan tidak ada persetujuan dalam beberapa perkara berhubung kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb lepas. -- Bernama