Jawatankuasa Perundingan PAS akan meneruskan perundingan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata jawatankuasa tersebut hanya diberi mandat untuk mengadakan perundingan dan bukan menetapkan keputusan.

Tegasnya, Jawatankuasa Perundingan PAS masih belum dimaklumkan berhubung keputusan muktamad Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak menjalin kerjasama dengan PPBM.

"Kita akan teliti. Sehingga setakat ini saya tidak mendapat untuk bubar jawatankuasa perunding. Bagi saya kita teruskan dan saya akan teliti balik kenyataan dan keputusan oleh Tuan Guru Presiden.

"Saya difahamkan jawatankuasa perunding akan terus berunding dan meneliti beberapa isu-isu yang berbangkit di antara PAS dan PPBM," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di sini hari ini.

Bagaimanapun Abdul Hadi yang dimaklumkan akan hadir mesyuarat tersebut, tidak hadir hingga mesyuarat lebih tiga jam itu selesai.

Malah beliau turut menegaskan, rundingan itu akan diteruskan sampai bila-bila dan tidak terikat dengan mana-mana tempoh masa.

"Secara keseluruhannya Jawatankuasa Perunding (PAS) akan teruskan perundingan dengan PPBM dan kita juga meneliti beberapa perkara dalam muafakat ini.

"Tak ada tempoh (tamat rundingan) dan tak terikat dengan tempoh," katanya.

Selain itu, Tuan Ibrahim turut menjelaskan, walaupun adanya rundingan dengan PPBM namun keputusan muktamad terletak pada Majlis Syura.

Mengulas kerjasama PAS dan PKR di Selangor, Tuan Ibrahim berkata kerjasama pentadbiran itu akan diteruskan seperti mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.