Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengulangi pendirian Sabah tidak menjalinkan kerjasama politik dengan Kerajaan Pusat.

Sebaliknya, tegas Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu, kerjasama yang dinyatakan beliau pada sidang media semalam adalah melibatkan kerjasama kerajaan dengan kerajaan.

Katanya, meskipun kepentingan politik berbeza dengan kerajaan baharu di peringkat persekutuan, ia sama sekali tidak menghalang hubungan di antara jabatan dan kementerian sedia ada.

"Kita lihat bahawa dari segi dengan pendekatan apa yang kita putuskan kerajaan pimpinan kita di sini kita katakan akan menyokong Tun Dr Mahathir (Mohamad), manakala pendirian kita kerjasama di antara jabatan-jabatan, kementerian-kementerian contohnya Kementerian Kesihatan, Kementerian Pelajaran negeri Sabah.

"Walaupun kepentingan wujud perbezaan politik, kita harus fahami. Jangan ada pihak yang membuat tafsiran bahawa kita bekerjasama dalam konteks politik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Penganjur World Islamic Economic Forum (WIEF) di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) Kota Kinabalu, pada Jumaat.

Mohd Shafie pada Khamis telah menyatakan pendirian beliau selaku Ketua Menteri dan kerajaan negeri sebulat suara menyokong Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun Kerajaan Sabah akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam konteks 'Goverment to Goverment'.

BACA: Pendirian Sabah dan Mohd Shafie demi kepentingan rakyat, negeri - Dr Zaini

Dalam pada itu, konsisten dengan pendirian tersebut, beliau berkata, pihaknya tetap terbuka bekerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk terus berkhidmat kepada rakyat Sabah.

"Kita tahu juga, terkadang di sini itu ancaman contohnya keselamatan, saya selaku Pengerusi Keselamatan Negeri dan kita perlu ada hubungan dengan pihak keselamatan seperti polis, tentera," katanya.

Pada Khamis, seluruh Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari blok Kerajaan Negeri Sabah membabitkan Parti Warisan Sabah (Warisan), UPKO dan Pakatan Harapan (PH) telah menyatakan sokongan kepada Mohd Shafie atas pendirian berkenaan.