Pembangunan ekonomi rakyat tetap menjadi isu dominan di Sabah walaupun pilihan raya negeri (PRN) bakal diadakan dalam keadaan negara berdepan pandemik COVID-19.

Menurut Pensyarah Pengajian Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Mujibu Abd Muis, ia termasuk memastikan wakil rakyat atau parti yang dipilih mampu melunaskan tuntutan lama dan pernah dijanjikan kepada mereka.

Malah, dengan gelaran negeri terkaya, Sabah, pembangunannya juga perlu selari dengan jolokan yang diberikan.

"Saya rasa walaupun kita dihimpit dengan COVID-19, baik di peringkat nasional mahupun di Sabah, namun isu-isu asas seperti ekonomi rakyat itu tetap menjadi isu yang dominan dalam setiap pilihan raya.

"Apatah lagi dalam konteks Sabah sebagai sebuah negeri yang dikatakan terkaya tetapi pembangunannya masih terkebelakang.

"Ada tuntutan-tuntutan yang sudah lama berlaku seperti jambatan di Labuan, pembaikan jalan raya, lebuhraya Pan-Borneo yang perlu disiapkan, pelabuhan, infrastruktur, pelancongan dan sebagainya.

"Ini menjadi isu yang dominan," katanya ketika diwawancara di Buletin AWANI Khas: Sabah Memilih pada Khamis.

Dalam pada itu, katanya, rakyat Sabah juga mahukan kestabilan politik di negeri itu, sekali gus memberi kesan positif kepada ekonomi yang terjejas berikutan COVID-19.

"Dalam masa sama, rakyat Sabah merasakan bahawa perlu memberikan signal kepada kerajaan memerintah bahawa sebenarnya kuasa politik itu berada di tangan rakyat.

"Penglibatan rakyat dalam politik itu tidak lagi pasif iaitu sewaktu pilihanraya, dan selepas pilihan raya kerajaan yang tentukan. Perlu ada effective engagement," tambahnya.

Justeru beliau yakin Pilihan Raya Negeri Sabah kali ini akan digunakan pengundi di Sabah sebaik mungkin untuk memilih wakil rakyat yang mampu memenuhi tuntutan sebelum ini.