Isu penggunaan logo sama untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan dibincangkan oleh gabungan politik yang berada di dalam Perikatan Nasional (PN) negeri itu.

Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, persetujuan mengenainya juga diharap dapat dicapai dalam misi berhadapan parti lawan pada PRN kelak.

"Itu akan dibincangkan oleh gabungan politik yang berada di dalam PN dan kita harap agar satu pencapaian, satu kata persetujuan politik dapat dicapai dalam gabungan PN itu untuk berhadapan dengan parti lawan yang ada di negeri Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di sini, pada Khamis.

Turut diadakan penyerahan peruntukan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Lembaga Pertubuhan Peladang 2020.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Nasional, Khairuddin Daud mencadangkan Pakatan Harapan (PH) menggunakan hanya satu logo iaitu Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam PRN akan datang.

Tegas Khairuddin, seluruh parti yang menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad termasuk Amanah, DAP, PKR dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), wajar menggunakan satu logo yang sama.

Dalam perkembangan berasingan, Dr Ronald menjelaskan, keputusan undi pos kepada pengundi Sabah di Sarawak dan Semenanjung tertakluk sepenuhnya di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) sebelum ini dilaporkan menggesa SPR membenarkan pengundi Sabah di Sarawak dan Semenanjung untuk mengundi pos.