Pas Sabah mengumumkan kesediaan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Pesuruhjaya Pas Sabah, Mohd Aminuddin Aling mendedahkan, pihaknya sudah mengenal pasti dan memuktamadkan kerusi-kerusi yang berpotensi selain menyerahkan kepada Pas Pusat untuk berunding dengan rakan politik lain.

“Sebagai gambaran awal, Pas sentiasa menonjolkan calon-calon yang penuh karisma dan berintegriti serta mampu menjalankan amanah kepimpinan secara adil dan saksama.

“Pas Sabah mengambil pendekatan mesra dengan semua rakan politik khususnya di Sabah dan perkara yang paling utama adalah mendapat kemenangan dalam PRN yang akan datang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Aminuddin berkata, pihaknya akan terus membuktikan semangat setia kawan seperti yang telah dibuktikan dalam pilihan raya Parlimen Kimanis sehingga berjaya mencapai kemenangan.

“Kami yakin, jika semangat setia kawan ini diteruskan sudah pasti ia akan membuahkan kemenangan,” katanya.