Parti Bersatu Sabah (PBS) bercadang akan bertanding 30 buah kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Radin Malleh berkata, PBS telah mengenal pasti jumlah berkenaan dimana ia mempunyai potensi kuat untuk calon mereka memenangi jumlah kerusi tersebut.

Cadangan parti pro Perikatan Nasional (PN) itu diumumkan selepas mengambil kira analisis kekuatan parti dan sokongan membabitkan 30 kerusi yang mahu dipertandingkan dalam PRN kali ini.

"Kita bercadang untuk bertanding di 30 kerusi kerana kami mahu dilihat realistik, wajar dan praktikal," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas mempengerusikan mesyuarat parti itu di sini, hari ini.

Dengan pengumuman PBS yang juga merupakan parti pembangkang tempatan di negeri ini, sekaligus menyaksikan tiga pihak telah tampil menyuarakan kehendak untuk bertanding pada PRN Sabah.

Baru-baru ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah mengemukakan hasrat untuk bertanding di 45 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada UMNO, PBRS dan MCA pula bertanding di kesemua 73 kerusi.

Bagaimanapun, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam sidang medianya baru-baru ini mendedahkan jumlah keseluruhan 73 kerusi itu turut melibatkan rakan-rakan 'seangkatan' mereka di negeri ini.

Sementara itu, dalam kenyataan media yang sama, Radin turut memaklumkan pihak PBS dijangka menampilkan beberapa muka baharu dan golongan wanita sebagai calon berpotensi diketengahkan.

"PBS telah bekerja keras sebelum ini dan pastinya kami yakin untuk memperoleh kemenangan pada PRN kali ini," katanya.

Untuk rekod, PBS yang merupakan bekas parti komponen BN sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) telah menang enam kerusi DUN.

Setakat ini, PBS hanya memiliki empat kerusi DUN iaitu Kiulu, Kundasang, Tamparuli dan Matunggong.

PBS, merupakan parti 'multi-racial' ditubuhkan sejak tahun 1985 sebelum ini dilihat sinonim dengan masyarakat Kadazandusun Murut (KDM), Bumiputera Islam dan masyarakat Cina di Sabah.