Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bakal meletakkan calon yang faham prinsip parti dan berintegriti pada Pilihan Raya Negeri nanti.

Parti itu menegaskan tidak terkesan dengan isu keluar parti oleh beberapa ahlinya, malah berhasrat bertanding di beberapa buah kerusi lagi berbanding lima kerusi yang dimenangi sebelum ini.

Menurut Setiausaha Agong UPKO, Nelson W Angang, buat masa ini perbincangan masih lagi berjalan dan beliau yakin perkara tersebut akan diumumkan oleh Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam waktu terdekat.

“Parti UPKO telah memenangi lima kerusi pada pilihnaraya umum yang lalu, maka secara prinsip dan dasarnya UPKO akan mempertahankan kelima-lima kerusi DUN ini selain meminta untuk pertambahan kerusi susulan terdapat 13 kerusi baharu.

“Dari segi calon pula, kami yakin dengan calon-calon yang akan diketengahkan nanti. Salah satu perkara yang mereka perlu fahami apabila diberi peluang ialah kesetiaan kepada perjuangan parti dan kesetiaan kepada komponen Kerajaan Sabah. ini adalah perkara yang utama,” katanya.

Beliau berkata demikian di Ibu Pejabat UPKO di Donggongon, Penampang pada Khamis.

Hujung bulan lalu, empat Ahli Dewan Undangan Negeri daripada UPKO bertindak meninggalkan parti itu.

Mereka adalah ADUN Nabawan, Datuk Bobby Suan, ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury; ADUN Paginatan, Datuk Abidin Madingkir dan ADUN Kuamut, Masiung Banah.