Ahli Parlimen Tapah Datuk Seri M. Saravanan bakal bersaing dengan bekas Pengerusi MIC Perak Tan Sri M. Ramasamy dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden parti 20 Okt ini.

Pertandingan satu lawan satu jawatan nombor dua parti itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MIC Tan Sri G. Rajoo kira-kira 4.30 petang selepas tamat tempoh penamaan calon bagi jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan anggota CWC bagi penggal 2018-2021.

Ramasamy dilihat menghantar borang pencalonan lebih awal iaitu pada 2.10 petang manakala Saravanan, yang merupakan bekas anggota Jawatankuasa Pusat (CWC), menyerahkan borangnya pada 2.55 petang pada sesi penamaan calon yang berlangsung selama dua jam di ibu pejabat MIC di sini, hari ini.

Saravanan ketika ditemui pemberita berkata beliau percaya sumbangan dan penglibatan karier politik lebih 30 tahun dalam parti dapat menyumbang kepada kemenangan beliau.

"Saya yakin hubungan 'lama' saya dengan MIC dan peranan saya sebagai anggota parti akan membuka peluang luas untuk menang," katanya.

Pada 2015, Saravanan pernah bertanding bagi jawatan sama namun kalah tipis dengan perbezaan 17 undi berbanding penyandangnya Datuk Seri S.K. Devamany.

Dalam pada itu, Ramasamy yang merupakan usahawan terkenal, berkata beliau komited untuk berkhidmat kepada parti dan masyarakat sekiranya memenangi jawatan kedua parti itu.

Sementara itu, 10 calon lain bakal berentap bagi tiga jawatan Naib Presiden, antaranya bekas Ketua Pemuda MIC Datuk C. Sivaraajh dan penyandangnya Datuk T. Mohan.

Rajoo turut mengumumkan terdapat 44 calon menghantar borang pencalonan bagi 21 jawatan anggota CWC termasuk bekas Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.

Turut hadir memberi sokongan Presiden MIC Tan Sri S. A. Vigneswaran dan bekas Presiden MIC Tun S. Samy Vellu.

-- BERNAMA