Tidak ada bantahan kuat terhadap 'benteng' bekas perdana menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak untuk menyertai PKR meskipun status permohonannya belum diluluskan.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sedar kedudukan Salleh yang suatu ketika dahulu sememangnya amat setia dengan Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi perkara itu bukanlah menjadi penghalang utama bekas menteri itu menyertai PKR.

Bahkan, Ahli Parlimen Port Dickson itu turut berkata, beliau sendiri juga merupakan amat komited kepada parti UMNO suatu ketika dahulu.

"Saya akan ambil kira dan Christina (Datuk Christina Liew, Pengerusi PKR Sabah) dan seseorang ada menyatakan kepada saya pandangan mereka, beliau (Salleh) amat kuat dalam mempertahankan Najib pada masa lalu.

"Tetapi sekarang, beliau (Salleh) komited untuk perjuangan parti, kita harus pertimbangkan. Bagi saya, apa yang tidak boleh dirunding adalah anda harus patuhi agenda pembaharuan (reformasi) terima fakta parti ini adalah parti pembahruan.

"Saya juga merupakan ahli UMNO yang komited suatu ketika dahulu," katanya.

Anwar berkata demikian selepas ditanya sama ada penyertaan Salleh mampu mengundang persepsi negatif dikalangan ahli memandangkan bekas menteri Barisan Nasional (BN) itu sememangnya dikenali kerana sering mempertahankan Najib.

Mengulas lanjut mengenai isu itu, beliau berkata, keputusan penyertaan Salleh akan dibawa ke peringkat Biro Politik selepas mengambil kira pandangan semua kepimpinan dan cabang PKR terutamanya dari Sabah.

"Dari segi prinsip, tiada bantahan daripada mana-mana hak orang untuk menyertai, mereka juga bagi pandangan mana-mana ahli harus terima dasar parti ini dan bersedia untuk bekerja untuk parti.

"Pandangan mereka berlainan cabang akan diambil kira bila biro politik mengadakan pertemuan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Keadilan Sabah 2019, di Penampang, pada Isnin.

Terdahulu, Salleh sebelum ini mengumumkan permohonan untuk menjadi ahli PKR melalui atas talian.

Bagaimanapun tindakan beliau untuk menyertai parti tersebut telah mengundang pelbagai reaksi politik di negeri Sabah dan meminta pucuk pimpinan PKR campur tangan mengenai isu berkenaan.