Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi menyindir ‘lakonan’ Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan menaiki Grab selepas memulangkan kereta rasmi kepada kerajaan negeri dalam satu majlis baru-baru ini.

Menurutnya, Mohamed Azmin bijak berlakon demi mengaburi mata rakyat Selangor.

“Jika parti dalam Pakatan Harapan mahu menggunakan aset kerajaan negeri, mereka tiada halangan.

“Sebaliknya bila kita mahu menggunakan dewan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk majlis malam ini, mereka tidak memberi kebenaran.

“Justeru itu, kita terpaksa menggunakan dewan ini bagi majlis perkenalkan calon,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahya yang dikatakan menghalang parti politik menggunakan kemudahan milik PBT dalam tempoh kempen PRU14.

Pada masa sama, beliau mendakwa terdapat parti dalam Pakatan Harapan (Harapan) telah menyalahgunakan aset kerajaan negeri.

“Namun sayangnya, ada parti juga yang boleh jadi, untuk menunjuk integriti, dengan memulangkan kereta dan balik naik Grab, hari ini menggunakan harta milik PBT.

“Apapun lakonan mereka, malam ini lebih baik kita terus fokus dengan maksud dan niat kita,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 3,000 orang ketika pengumuman calon Pas Selangor di Perkim Village, Seksyen 8, di sini malam tadi.

Minggu lalu, Mohamed Azmin dilaporkan menggunakan khidmat Grab selepas menyerahkan kereta rasminya.

Terdahulu, pengarah pilihan raya Pas Selangor mengeluarkan kenyataan mendakwa Harapan menggunakan Stadium Selangor yang dimiliki kerajaan negeri untuk program ceramah dan dalam masa sama menghalang pihak lain melakukan hal serupa.