Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan sambutan pengundi di seluruh negara kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) amat luar biasa berbanding dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dan ke-13.

Kata Timbalan Perdana Menteri, situasi meyakinkan itu dilihat oleh beliau sendiri ketika lawatannya ke beberapa kawasan Parlimen di seluruh negara sebelum ini.

Justeru, calon Parlimen Bagan Datuk itu begitu berharap agar sokongan tersebut dapat diterjemahkan dalam bentuk undi menjelang 9 Mei kelak.

Ahmad Zahid juga menafikan dakwaan bahawa sokongan di Sabah berpihak kepada pembangkang, seperti yang ditular di media sosial. Katanya, sambutan yang diterima Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika lawatannya ke Negeri Di Bawah Bayu itu, mendapat sambutan yang menggalakkan dan cukup meyakinkan.

"Walaupun dalam media sosial memperlihatkan macam ada gelombang besar dan seolah-olah kemenangan memihak kepada mereka (pembangkang), tetapi realiti 'silent majority' atau majoriti senyap ini bersama dengan Barisan Nasional.

"Virality, atau tular dalam media sosial ini adalah kerana program-program perhimpunan yang dilakukan di kawasan bandar, sedangkan kita tahu bahawa 70 peratus daripada kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) dan Parlimen adalah di kawasan luar bandar," jelasnya.

"Sambutan rakyat kepada calon-calon BN pula meningkat dengan luar biasa berbanding PRU12 dan PRU13," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'Back2School: Pelestarian Kebun' yang dihadiri oleh murid-murid daripada 68 buah sekolah sekitar Bagan Datuk di SK Sungai Nipah di sini, hari ini.

Katanya lagi, BN berasa gembira berdasarkan situasi positif yang diterima daripada rakyat dan ianya turut merisaukan pihak lawan sehingga mereka sanggup menggunakan helah taktik "SLMA" (surprise last minute attack) atau serangan di saat akhir.

Jelasnya, tumpuan utama atau "centre of gravity" untuk serangan itu diberikan kepada Perdana Menteri selaku ketua BN.

Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian, BN yakin bahawa sambutan rakyat di kawasan pendalaman untuk etnik dan sub-etnik di Sabah dan Sarawak adalah baik dan begitu juga di Perlis dan Johor.

"Kita lihat bahawa ada gelombang untuk memberikan sokongan yang besar kepada calon-calon BN dan kita lihat di Pantai Timur akan ada perubahan... perubahan positif ini dapat dirasakan," katanya lagi.

Justeru, Ahmad Zahid menyeru kepada rakyat Malaysia khususnya pengundi agar tidak mudah mempercayai berita palsu dan tidak benar apatah lagi kempen-kempen perang saraf yang dilakukan oleh pihak pembangkang yang 'hilang punca'.

"Saya harap, apabila penolakan kepada mereka ini telah dilakukan, kita harus istiqamah dan yakin bahawa pegangan kita untuk memberikan dokongan kepada BN harus diteruskan, sehingga tamat hari pengundian pada jam 5 petang, pada 9 Mei nanti," tambahnya.