Pengerusi Barisan Nasional Temerloh Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin menganggap ‘kerjasama’ di antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai sandiwara politik yang hanya memperjuangkan kelangsungan kuasa seorang individu.

Jelasnya PKR ditubuhkan bagi menentang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana kezaliman yang pernah dilakukan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita lihat kembali sejarah penubuhan PKR pada asalnya adalah bagi menentang Tun Mahathir. Kini mereka sedang bekerjasama. Bagaimana anda melihat keikhlasan itu?

“Apakah bentuk perjuangan yang mereka laungkan suatu ketika dahulu apabila sekarang mereka boleh bersama dengan satu-satunya individu yang mereka bermati-matian mahu jatuhkan?,” katanya kepada pemberita di Temerloh, hari ini.

Jelasnya tindakan Pakatan Harapan bertanding di bawah logo PKR adalah salah satu kaedah sandiwara yang dipertontonkan kepada pengundi walaupun pada dasarnya parti-parti tersebut tidak bersetuju dengan satu sama lain.

“Ini adalah suatu strategi untuk membuat Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali relevan,” katanya.

Mohd Sharkar yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh berkata, berita sandiwara politik bersifat individu sudah tidak relevan lagi kerana rakyat sudah bijak menilai siapa wakil rakyat yang betul-betul melaksanakan tanggungjawab mereka.

Mengulas mengenai tindakan sesetengah ahli UMNO yang berhijrah ke Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bertanding, Mohd Sharkar berkata setiap individu mempunyai hak untuk mengubah haluan masing-masing.

"Dahulu Datuk Seri Anwar Ibrahim juga orang UMNO, Tun Mahathir juga orang UMNO tetapi mereka berubah arah. UMNO tiada halangan jika ada ahli yang tidak puas hati dan mahu pergi ke parti lain.

"Itu adalah jauh lebih baik daripada mempunyai ahli yang akhirnya mengkhianati pada saat-saat gentir seperti sewaktu pilihan raya," jelasnya.

Menyentuh soal pengumuman Manifesto BN Pahang dan calon PRU14, Mohd Sharkar berkata tiada yang janggal mengenai tindakan parti tersebut untuk mengambil masanya yang tersendiri berbanding negeri-negeri lain.

“Pengumuman akan dibuat dalam masa dua harı lagi. Ia agak lambat kerana BN negeri ingin memastikan bahawa setiap calon boleh hadir majlis tersebut. Tiada unsur masalah dalaman seperti yang digembar-gemburkan.

“Apa yang boleh saya kongsikan, bagi pihak kami dokumen-dokumen telah pun siap dan hanya menunggu masa,” katanya.