PELETAKAN jawatan Nurul Izzah Anwar sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pengerusi PKR Pulau Pinang mencetuskan beberapa persoalan mengenai situasi dalaman PKR pasca Pilihan Raya Umum ke-14.

Di sebalik usaha untuk merungkai jawapan kepada persoalan itu, ruang awam terutama di media sosial telah menyaksikan pelbagai pendapat dan analisis diskusi dari pemerhati politik.

Jika dilihat kepada sisi pertentangan politik dalaman PKR, langkah pengunduran oleh ‘Puteri Reformasi’ itu dibaca sebagai tindakan yang berjiwa besar.

Meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan, prinsip serta idealisme perjuangan tersemat kemas di dada Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Menurut Penganalisis Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, saat ini adalah momen yang memerlukan perhatian dan sentuhan ‘magis’ Presiden PKR dan bapa Nurul Izzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BACA: Nurul Izzah letak jawatan Naib Presiden PKR

Secara tidak langsung, langkah mengejut Nurul Izzah ini menguji kepimpinan dalam mencatur saf serta mengurus bakat yang diperlukan dalam membawa obor perjuangan dalam arena politik tempatan.

BACA: Jangan komen bagi pihak saya! - Nurul Izzah

“Kalau kita lihat dalam konteks Malaysia Baharu, PKR sungguh berlainan dengan parti-parti politik lain.

“Masih terdapat perpecahan yang berlaku kerana wujudnya dua blok berbeza antara penyokong Datuk Seri Azmin Ali dan juga Rafizi Ramli dalam pemilihan lepas,’’ jelas Tawfik ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

BACA: Hormati keputusan Nurul Izzah - Zuraida

Menurut Mohammad Tawfik yang merupakan pensyarah kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik itu juga menyifatkan sekiranya ‘ribut dalam secawan kopi’ ini tidak dibendung dengan bijaksana, ia dibimbangi bakal melarat menjadi barah dan mengheret parti itu ke kancah krisis.

“Ia boleh menjadi menjadi ‘penyakit’ yang cukup besar kepada PKR,” ujarnya.

Kebolehan Nurul Izzah adalah aset penting

Dimensi yang mengisi pertimbangan masyarakat sivil dalam menilai kekuatan 'Puteri Reformasi' itu tidak hanya berkisar soal politik mahu pun seni ‘sepak terajang’ yang mendominasi tajuk berita.

Ramai yang menyuarakan pandangan mengenai keupayaannya mencipta impak dalam mempengaruhi keputusan berdasarkan agenda perubahan Pakatan Harapan.

Persoalannya, mampukah landskap sosio-politik dan pemerintahan era baharu sanggup ‘kehilangan’ seorang tokoh wanita dan muda yang mewakili suara progresif dan segar?

Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Fuad Othman melihat jenama atau ‘branding’ Nurul Izzah sangat dekat serta memikat hati anak muda di Malaysia.

“Dia bersesuaian dengan apa yang disebut sebagai ‘Malaysia Baharu’ dan melihatkan bagaimana nurul izzah yang mempunyai sokongan yang amat besar khususnya di kalangan anak anak muda,” katanya.

Pada masa yang sama, politik yang sarat dengan seni segala kemungkinan ini tidak boleh mengenepikan faktor-faktor lain yang mendominasi keputusan beliau.

“Mungkin beliau ada perancangannya yang tersendiri seperti mengukuhkan akar umbi di kawasan beliau sendiri.

“Mungkin juga perancangan lain yang sendiri tidak tahu,” ujarnya.

Nurul Izzah, 38 tahun, dalam kenyataan media mengumumkan pengunduran beliau pada Isnin turut menyatakan kekesalan mengenai masa. Pada hematnya, adalah lebih baik jika pengumuman berkenaan dibuat lebih awal.

"Kekesalan saya hanyalah pengumuman ini sepatutnya dibuat lebih awal, tetapi ia bukanlah satu keputusan yang mudah bagi saya," kata Nurul Izzah dalam kenyataan itu.

Keputusan Nurul Izzah disambut pelbagai reaksi dari rakan sejawat mahu pun ahli-ahli parti dari cabang Permatang Pauh.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menzahirkan rasa kagum beliau dengan keputusan Nurul Izzah, namun beliau pasti wanita berjiwa kental itu pasti akan kembali mewarnai lanskap politik tanah air.

Rafizi Ramli yang merupakan bekas Naib Presiden PKR berkata tindakan Nurul Izzah merupakan tindakan berprinsip untuk membolehkan beliau kekal bersuara secara objektif membawa isu-isu rakyat yang selari dengan idealisme reformasi.

Apa jua harapan Nurul Izzah, keputusan itu membuktikan bahawa idealisme perjuangan itu lebih penting dari jawatan, pangkat atau kuasa.

Maka, keputusan beliau pada hari ini, walaupun mengejutkan, adalah sesuatu yang wajar diteladani mesejnya.

Selamat maju jaya, Nurul Izzah...