Naib Presiden MIC, Datuk M.Saravanan Khamis mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu pada 6 November ini.

Beliau berkata Majlis Tertinggi MIC menetapkan 25 Oktober ini sebagai hari penamaan calon bagi jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden serta 23 anggota dalam Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti berkenaan.

"Sehingga kini saya tidak dengar anggota MIC yang hendak bertanding dan jawatan tersebut masih kosong kerana timbalan sebelum ini telah dipilih sebagai presiden parti," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Majalah 'Naam' di sini.

Saravanan, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, berkata biar anggota MIC memutuskannya kerana pemilihan bagi jawatan itu perlu dibuat secara harmoni antara sahabat yang sedia ada dalam parti serta semangat setiakawan.

Beliau berkata meskipun dari segi struktur MIC merupakan parti tunggal yang mewakili kaum India, realitinya ia belum mampu meyakinkan masyarakat itu.

"Oleh itu langkah proaktif perlu bagi memberi keyakinan kepada masyarakat kaum India supaya kebajikan mereka terbela dan tidak tercicir daripada arus pembangunan negara," katanya.

Sementara itu di Shah Alam, Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai mana-mana calon pilihan kerana semua mereka adalah penyokongnya.

"Adalah sukar untuk menamakan calon pilihan saya kerana mereka yang bertanding juga merupakan penyokong saya," katanya pada sidang media selepas melancarkan sambutan Hari Penglihatan Sedunia 2015 di Hospital Shah Alam di sini, pada Khamis.

Di Kuala Lumpur, C. Sivarraajh dan M.Mohana masing-masing mengesahkan akan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita pada pemilihan sayap parti itu, 18 Oktober ini.

Kedua-dua penyandang jawatan itu berkata mereka akan mengemukakan pencalonan masing-masing di ibu pejabat parti di sini, Sabtu ini.

Selain itu, pencalonan untuk ketua Putera dan Puteri MIC akan berturut diadakan pada hari berkenaan.

Sivarraajh dan Mohana berkata mereka yakin dapat mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan kali ini.

Pada pemilihan 2013, Sivarraajh mengalahkan V.Mugilan dalam pertandingan satu lawan satu manakala Mohana menewaskan M. Vickneswari Babuji, selaku setiausaha Pergerakan Wanita, selepas Datin Komala Devi tidak mempertahankan jawatan tersebut.

Pemilihan semula bagi semua jawatan itu diadakan atas arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang memberikan tempoh sehingga akhir Oktober bagi melaksanakan semula proses pemilihan semula parti.

Setakat ini, parti berusia 68 tahun itu telah mengadakan pemilihan peringkat cawangan pada Julai, pemilihan bagi jawatan Presiden pada 21 Ogos manakala pemilihan peringkat bahagian pada September lepas.

Parti kaum India itu mula dilanda krisis apabila wujud perbezaan pendapat antara bekas presiden, Datuk Seri G.Palanivel dan timbalannya Dr Subramaniam selepas RoS mengeluarkan notis pada 5 Dis tahun lepas yang mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan baharu bagi tiga kerusi naib presiden dan 23 kerusi CWC.